17 FEBRUARI 2020
RUSIA
Pegawai Penjara Memukul Lima Saudara di Orenburg, Rusia
Pada 6 Februari 2020, di Orenburg, Rusia, pegawai Penjara No. 1, telah memukul lima saudara kita dengan teruk. Saudara-saudara itu ialah Aleksey Budenchuk, Gennadiy German, Roman Gridasov, Feliks Makhammadiyev, dan Aleksey Miretskiy. Saudara Makhammadiyev terpaksa dimasukkan ke hospital akibat patah tulang rusuk, paru-paru bocor, dan kerosakan pada buah pinggang. Saudara Budenchuk, German, Gridasov, dan Miretskiy pula dipukul teruk lalu dimasukkan ke dalam sel hukuman atas tuduhan palsu yang tidak masuk akal. Antara tuduhan yang dilontarkan ialah merokok, tetapi tuduhan itu palsu sama sekali kerana Saksi-Saksi Yehuwa dilarang merokok.
Seperti dalam laporan sebelumnya, lima saudara itu, dan Saudara Konstantin Bazhenov, telah dinyatakan bersalah oleh Hakim Dmitry Larin dari Mahkamah Daerah Leninsky di Saratov pada 19 September 2019. Mereka dijatuhkan hukuman penjara dari dua tahun hingga tiga tahun setengah. Pada 20 Disember 2019, Mahkamah Daerah Saratov menolak rayuan saudara kita. Beberapa minggu kemudian, mereka dimasukkan ke dalam penjara. Saudara Bazhenov berada di Penjara No. 3 di kawasan Ulyanovsk apabila saudara-saudara lain diseksa di Penjara No. 1.
Sebaik sahaja lima saudara itu tiba di Penjara No. 1 pada 6 Februari 2020, mereka terus dipukul dan langsung tidak dibawa untuk diperiksa doktor. Hanya pada keesokan hari, semasa Saudara Makhammadiyev didapati mengalami demam tinggi dan terdapat darah pada air kencingnya, barulah mereka diperiksa oleh doktor. Pegawai penjara juga enggan menghubungi ambulans selagi Saudara Makhammadiyev tidak menandatangani borang yang menyatakan dia cedera kerana “terjatuh di bilik mandi.” Akhirnya Saudara Makhammadiyev ditahan di hospital dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan cecair dalam paru-parunya. Pemeriksaan lain juga menunjukkan bahawa Saudara Makhammadiyev mengalami kelaparan yang teruk. Dia hanya dapat makan makanan tertentu kerana menghidap penyakit seliak (celiac), tetapi pihak penjara telah merampas makanannya.
Kami sangat sedih mendengar ketidakadilan dan penderitaan saudara saudari kita di Rusia. Namun kami yakin bahawa Yehuwa akan terus membantu mereka untuk bertabah dan tetap setia.—Filipi 1:27, 28.