Lompat ke kandungan

Dari kiri ke kanan: Anatoly Razdobarov dengan isterinya Greta, dan Nikolay Merinov bersama isterinya Liliya, sebelum diserang secara fizikal oleh penguat kuasa undang-undang Rusia

10 OKTOBER 2021
RUSIA

Pegawai Rusia Menyerang Dua Pasangan Suami Isteri

Pegawai Rusia Menyerang Dua Pasangan Suami Isteri

Pada Isnin, 4 Oktober 2021, para pegawai bersenjata OMON a di Rusia menyerang secara fizikal Saudara Anatoly dan Saudari Greta Razdobarov serta Saudara Nikolay dan Saudari Liliya Merinov. Serangan yang amat kejam itu berlaku semasa sepasukan pegawai penguat kuasa menyerbu 12 rumah Saksi Yehuwa di bandar Irkutsk. Para pegawai menahan beberapa saudara lain semasa serbuan itu.

Pada 6:00 pagi, para pegawai pecah masuk rumah Anatoly dan Greta. Mereka menarik rambut Greta dan mengheretnya ke bilik berasingan. Mereka memulas tangan Greta ke belakang dan menggarinya lalu memukulnya berkali-kali.

Sementara itu, Anatoly dipaksa meniarap ke lantai, tangannya dipulas ke belakang dan digari, serta kepala dan perutnya ditendang. Para pegawai menarik tangan Anatoly yang bergari ke atas sehingga badannya terangkat dari tanah. Anatoly rasa sangat sakit kerana berat badannya mencederakan bahunya. Mereka memukul tangannya dan memaksanya untuk mengaku bersalah serta mendedahkan maklumat tentang saudara saudari. Para pegawai juga menderanya dengan cuba memasukkan botol kaca ke punggungnya secara paksa. Serbuan itu berlangsung selama lebih daripada lapan jam.

Semasa para pegawai pecah masuk rumah Nikolay dan Liliya Merinov, mula-mula mereka guna objek berat yang tumpul untuk pukul muka Nikolay. Dia jatuh ke lantai dan hilang kesedaran. Selepas dia sedar diri, dia nampak seorang pegawai duduk di atasnya dan memukulnya. Pegawai itu mematahkan gigi depan Nikolay. Rambut Liliya ditarik dan dia diheret keluar dari katil lalu tangannya digari. Para pegawai berkali-kali menyerangnya secara fizikal sebelum membiarkannya tukar ke pakaian yang sesuai.

Mengikut Kanun Jenayah Rusia, penyalahgunaan kuasa yang melampau ini memang boleh dihukum. Selain itu, Persekutuan Rusia juga tertakluk kepada undang-undang beberapa organisasi antarabangsa yang melindungi hak individu daripada penderaan. Jadi, kedua-dua pasangan ini akan berjuang di mahkamah Rusia dan antarabangsa untuk mencari penyelesaian bagi jenayah itu.

Sehari selepas para pegawai menyerbu 12 rumah di Irkutsk dan menyerang dua pasangan, sekitar 300 saudara saudari datang ke Mahkamah Daerah Oktyabrskiy di Irkutsk untuk sokong enam saudara lain yang diarahkan untuk ditahan sebelum perbicaraan

Dua hari selepas serbuan itu, mahkamah mengarahkan enam saudara untuk ditahan sebelum perbicaraan, iaitu Yaroslav Kalin, Sergey Kosteev, Nikolay Martynov, Mikhail Moish, Aleksey Solnechny, dan Andrey Tolmachev. Sekitar 300 saudara saudari pergi ke mahkamah untuk sokong secara damai rakan seiman yang dilayan dengan tidak adil.

Kepada semua saudara saudari yang dikasihi di Rusia, kami menyahut kata-kata Paulus yang diilhami Tuhan kepada sidang Tesalonika: “Kami membangga-banggakan kamu di hadapan sidang-sidang Tuhan, kerana kamu tetap tabah dan beriman semasa menanggung bermacam-macam penganiayaan dan kesusahan.”—2 Tesalonika 1:4.

a Unit Gerak Khas bagi Pengawal Kebangsaan Rusia