7 OGOS 2019
RUSIA
Pegawai Rusia Menyerbu Lebih daripada 600 Buah Rumah Saksi-Saksi Yehuwa
Selama 18 bulan yang lalu, pegawai polis dan ejen Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) telah menggeledah sebanyak 613 buah rumah saudara saudari kita. Sejak Januari 2019, pihak berkuasa sudah menggeledah sebanyak 332 buah rumah Saksi. Jumlah ini melebihi jumlah rumah yang digeledah sepanjang tahun 2018, iaitu 281 buah rumah.
Kebelakangan ini, pihak berkuasa semakin kuat menentang saudara saudari kita. Pada bulan Jun, sebanyak 71 buah rumah diserbu dan pada bulan Julai sebanyak 68 buah rumah diserbu. Manakala, pada tahun 2018 pula sekitar 23 buah rumah sahaja diserbu setiap bulan. Angka-angka ini menunjukkan bahawa jumlah pada tahun 2019 jauh lebih banyak berbanding tahun 2018.
Biasanya, pihak polis akan datang beramai-ramai semasa menyerbu rumah atau apartment para Saksi. Mereka memakai topeng dan dilengkapi dengan senjata. Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam rumah, mereka akan memicu senapang ke arah muka para Saksi termasuk kanak-kanak dan orang yang lanjut usia, seolah-olah para Saksi ialah penjenayah yang berbahaya. Maka tidak hairanlah sesetengah pakar tidak bersetuju dengan tindakan ini. Antaranya ialah Doktor Derek H. Davis, bekas pengarah J.M. Dawson Institute of Church-State Studies di Baylor University. Dia berkata, “Saksi-Saksi Yehuwa mencintai kedamaian. Namun, Rusia menganiaya mereka dengan kejam sekali. Tindakan sebegini sememangnya sangat ‘ekstrem.’”
Sedihnya, semakin banyak rumah yang diserbu dan semakin banyak tuduhan jenayah yang dikenakan terhadap Saksi-Saksi Yehuwa. Pada bulan Disember 2018, terdapat 110 kes yang melibatkan Saksi Yehuwa, tetapi angkanya sudah meningkat dua kali ganda. Kini, terdapat 244 orang Saksi yang dituduh di Rusia dan Crimea. Antara mereka terdapat 39 orang yang ditahan di penjara, 27 orang yang ditahan di rumah, dan lebih daripada 100 orang lagi yang dikenakan pelbagai sekatan.
Walaupun saudara saudari kita terus menjadi sasaran pihak berkuasa Rusia, kita tidak “digoyahkan oleh kesengsaraan sebegini.” Sebaliknya, kita sangat digalakkan semasa mendengar ketabahan dan kesetiaan rakan seiman kita. Kita memuji dan bersyukur kepada Yehuwa kerana menjawab doa-doa yang kita ucapkan demi mereka, dan kita yakin bahawa Yehuwa akan terus berbuat demikian.—1 Tesalonika 3:3, 7.