Lompat ke kandungan

Saudara Yegor Baranov dan Saudari Darya Dulova

8 SEPTEMBER 2020
RUSIA

Pemuda-Pemudi di Rusia Menunjukkan Iman dan Keberanian

Pemuda-Pemudi di Rusia Menunjukkan Iman dan Keberanian

Di Rusia, Saudara Yegor Baranov (19 tahun) dan Saudari Darya Dulova (18 tahun semasa pihak berkuasa menyerbu rumahnya) menghadapi tuduhan jenayah kerana iman mereka. Saudara Baranov kini ditahan sebelum dibicarakan. Antara lebih daripada 380 saudara saudari di Rusia yang menghadapi tuduhan jenayah, merekalah yang paling muda. Walaupun mereka mungkin disabitkan bersalah dan dipenjarakan untuk masa yang lama, mereka tetap berani dan teguh.

Saudara Baranov telah ditahan sejak 27 Mei 2020. Saudari Dulova sedang menunggu keputusan mahkamah bagi dua kes jenayah yang berbeza. Meskipun menghadapi semua kesusahan ini, mereka bertekad untuk tetap setia kepada Yehuwa.

Pada 27 Mei, pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) telah menyerbu rumah Saudara Baranov dan ibunya. Kemudian, Hakim Aleksey Shatilov mengarahkan Saudara Baranov ditahan sebelum dibicarakan kerana dia merupakan “salah seorang pemimpin” Saksi-Saksi Yehuwa di kawasan itu.

Semasa serbuan itu, Saudara Baranov kata dia dapat bertenang selepas berdoa kepada Yehuwa. Dia kata, “Salah seorang pegawai yang menggeledah rumah boleh nampak saya sangat tenang, seolah-olah saya sudah tahu mereka akan datang.”

Saudara Baranov kata dia sentiasa mengingatkan diri bahawa “jika Yehuwa mengizinkan situasi ini berlaku, maksudnya Yehuwa tahu saya boleh menghadapinya dengan tabah.” Dia juga kata, “Saya berdoa kepada Tuhan dengan bersungguh-sungguh dan minta kuasa suci-Nya supaya saya tidak takut. Lagipun, saya tahu saya bukan penjenayah. Hati nurani saya bersih. Saya tahu saya dianiaya kerana iman saya.”

Saudara Baranov menjelaskan bahawa dia tidak rasa terancam di dalam pusat tahanan. Banduan lain melayannya seperti adik mereka dan menghormatinya. Saudara Baranov kata, “Mereka tahu saya tak sepatutnya berada di sini.”

Pada 1 Ogos 2018, para pegawai telah menyerbu apartmen Saudari Dulova dan ibunya. Saudari Dulova kata bahawa kejadian itu buat dia sangat tertekan. Tapi imannya tidak tergoyah. “Saya bertekad untuk tetap setia kepada Yehuwa,” katanya. “Tidak kira apa pun yang berlaku, saya akan menyembah Yehuwa sampai akhir.”

Perbicaraan kes jenayah Saudari Dulova bermula pada September 2019 di Mahkamah Bandar Karpinsky, Wilayah Sverdlovsk. Semasa salah satu perbicaraan, Saudari Dulova menjelaskan bahawa semua orang suka kongsi hal-hal yang baik dengan orang lain. Dia berkata, “Saya tahu tidak lama lagi Tuhan akan jadikan bumi ini sebuah firdaus. Pada masa itu, tiada hal-hal yang sedih akan berlaku. Ini berita yang baik. Jadi saya pun mahu mengongsinya dengan jiran-jiran saya.”

Biarpun dia membela diri dengan berani dan menyampaikan hujah yang munasabah, dia disabitkan bersalah pada 27 Januari 2020. Saudari Dulova dikenakan hukuman penjara tertangguh selama setahun. Peguam bela akan membuat rayuan bagi kesnya.

Pada 6 Ogos 2020, Mahkamah Wilayah Sverdlovsk membatalkan keputusan mahkamah yang sebelumnya bagi kes Saudari Dulova. Kesnya dikembalikan kepada Mahkamah Bandar Karpinsky untuk dibicarakan oleh hakim lain. Perbicaraan ini masih belum dijadualkan. Sementara dia menunggu keputusan kes itu, dia harus membela diri dalam kes jenayah kedua yang juga melibatkan ibunya dan tiga orang Saksi lain.

Melalui pengalaman ini, Saudara Baranov dan Saudari Dulova meraih banyak pengajaran hidup yang penting.

Saudari Dulova menjelaskan apa yang telah membantunya. Dia berkata, “Kuatkan kerohanian sendiri dengan membaca Bible. Buatlah persiapan untuk perjumpaan, dan belajarlah lagu rohani kita. Renungkan ayat-ayat Bible yang dapat bantu kamu tidak berasa risau atau takut.”

Saudara Baranov pula berkata, “Untuk tabah menghadapi penganiayaan, kamu harus ada hubungan yang rapat dengan Tuhan. Jangan buang masa. Sekaranglah masanya untuk kukuhkan hubungan kamu dengan Yehuwa.”

Bible penuh dengan contoh pemuda-pemudi yang dibantu oleh Yehuwa untuk menjadi berani. Kita yakin bahawa Yehuwa akan terus menyokong saudara saudari muda yang dianiaya di Rusia dan di serata dunia.​—1 Samuel 1:​20; 16:18; 2 Raja-Raja 5:​1-3; Daniel 1:​14-​17; 3:​17-​27.