1 JULAI 2020
RUSIA
Pendakwa Rusia Menghalang Pembebasan Saudara Christensen
Pada 26 Jun 2020, para pegawai penjara Lgov melanggar undang-undang dengan menempatkan Saudara Dennis Christensen dalam sebuah sel di blok hukuman khas (EPKT), yang biasanya digunakan untuk penjenayah yang berbahaya. Memandangkan kesihatannya semakin merosot, tindakan ini nampaknya dibuat untuk mematahkan semangatnya. Pejabat pendakwa raya juga mungkin akan menggunakan tuduhan palsu untuk membatalkan rayuan Saudara Christensen agar dibebaskan lebih awal, padahal sebelum itu, pejabat pendakwa raya telah menyokong rayuannya.
Saudara Christensen, yang dijatuhkan hukuman penjara enam tahun, sudah menjalani lebih daripada separuh hukumannya. Sebenarnya, dia layak untuk diberikan parol atau dibebaskan lebih awal. Tiga permohonannya tidak diendahkan, tetapi pada kali keempat, permohonannya telah diterima oleh mahkamah. Pada 23 Jun 2020, Mahkamah Daerah Lgov menyatakan bahawa Saudara Christensen boleh dibebaskan lebih awal selepas membayar denda. En. Artem Kofanov, iaitu pendakwa dalam kes itu, telah menyokong keputusan itu.
Dua hari kemudian, seorang lagi pendakwa yang bernama Aleksei Shatunov mengatakan bahawa keputusan mahkamah tidak sah. Dia menuntut agar keputusan itu dibatalkan dan dibicarakan oleh hakim lain di mahkamah yang sama. Permohonan En. Shatunov adalah berdasarkan laporan buruk daripada pegawai penjara Lgov. Mereka mendakwa bahawa Saudara Christensen tidak mempunyai rekod kerja dan kelakuan yang baik semasa di penjara.
Semasa perbicaraan parol pada 23 Jun, wakil penjara telah mengemukakan dakwaan serupa. Tetapi hakim menyatakan bahawa dakwaan mereka tidak berasas. Peguam bela juga menunjukkan rekod perubatan Saudara Christensen yang mengesahkan bahawa kesihatannya tidak mengizinkannya untuk bekerja semasa di penjara. Selain itu, seorang wakil penjara telah mengaku bahawa mereka tidak mempunyai kerja yang sesuai untuk Saudara Christensen.
Semasa pejabat pendakwa raya memproses rayuan untuk pembebasan awal Saudara Christensen, pihak penjara telah membuat dua lagi dakwaan terhadapnya. Dakwaan pertama ialah Saudara Christensen berada di ruang makan pada masa yang salah. Dakwaan kedua pula ialah dia memakai kemeja-T tanpa jaket semasa berada di bangunan penjara. Atas alasan-alasan ini, pegawai penjara telah memasukkan Saudara Christensen ke dalam EPKT selama 10 hari. Namun, menurut undang-undang Rusia, pihak berkuasa hanya dapat berbuat demikian apabila seorang banduan berulang kali melakukan kesalahan serius yang melanggar peraturan penjara. Sebelum memasukkan banduan dalam EPKT, pemeriksaan kesihatan harus dilakukan terlebih dahulu. Memandangkan kedua-dua syarat ini tidak dipenuhi dalam kes Saudara Christensen, pihak penjara telah melanggar undang-undang semasa memasukkannya dalam EPKT.
Dalam EPKT, Saudara Christensen harus berkongsi sel dengan seorang lagi banduan. Ukuran sel itu tiga meter kali dua meter. Sel itu ada kulapuk dan tidak mempunyai aliran udara yang baik. Keadaan ini menyebabkan kesihatannya menjadi semakin teruk. Beberapa bulan sebelum itu, Saudara Christensen telah menghidap pneumonia dan disahkan mempunyai masalah tulang belakang yang serius. Peguam Saudara Christensen mengatakan bahawa “pihak penjara sedar akan hal itu. Namun mereka membiarkannya tidur atas katil keras yang membuat keadaannya menjadi lebih parah.”
Menurut dakwaan yang dilontarkan terhadap Saudara Christensen, dia telah melanggar peraturan penjara lalu harus dimasukkan ke EPKT. Saudara Christensen memberitahu peguamnya bahawa terdapat banduan lain yang turut bersamanya ketika itu, namun hanya dia seorang yang dihukum. Maka, peguam Saudara Christensen menyimpulkan bahawa tindakan itu ialah muslihat terancang untuk menghalang Dennis daripada dibebaskan.
Biarpun Rusia terus membuat rancangan keji untuk menganiaya saudara saudari kita, kita yakin bahawa Yehuwa ialah tempat naungan mereka. Kita akan terus berdoa agar Yehuwa menguatkan Saudara Christensen dan isterinya Irina, dan membantu mereka terus bertabah pada masa yang susah ini.—Mazmur 94:13, 21, 22.