14 MEI 2019
RUSIA
Pendengaran Kes Rayuan Saudara Christensen Memasuki Tahap Akhir
Pada hari Selasa, 7 Mei 2019, pendengaran kes rayuan Saudara Dennis Christensen telah bermula di Mahkamah Daerah Oryol. Sebelum ini, Saudara Dennis dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun kerana kepercayaannya. Seperti mahkamah lain di Rusia, setakat ini, mahkamah ini juga enggan mempertimbangkan bukti-bukti daripada peguam bela yang dapat menunjukkan bahawa Saudara Dennis tidak bersalah. Tiga orang hakim di mahkamah ini akan menyatakan keputusan mereka pada hujung minggu ini.
Pada hari pertama pendengaran kes Saudara Dennis, ramai saudara saudari telah datang ke mahkamah untuk menyokongnya. Turut hadir ialah para pegawai dari pelbagai negara, wartawan, dan penyokong gerakan hak asasi manusia. Pada mulanya, kes Saudara Dennis diadakan di dalam sebuah bilik kecil yang hanya dapat memuatkan antara 20 hingga 25 orang. Oleh itu, sekitar 50 orang tidak dapat masuk ke dalam bilik mahkamah itu. Akhirnya, mahkamah mengabulkan permohonan para peguam bela Saudara Dennis untuk memindahkan pendengaran kesnya ke sebuah bilik yang lebih besar yang dapat menampung kira-kira 80 orang. Pendengaran kesnya hanya berlangsung selama tiga jam pada hari itu.
Pada hari kedua pendengaran kes Saudara Dennis, para hakim menolak usul para peguam bela untuk mengkaji sekali lagi bukti-bukti yang dapat menunjukkan bahawa Saudara Dennis tidak bersalah. Hal itu amat menyedihkan kerana para peguam Saudara Dennis yakin bahawa jika bukti-bukti itu diperiksa kembali, semua orang dapat melihat dengan jelas bahawa keputusan untuk memenjarakan Saudara Dennis sebenarnya langsung tidak berasas. Pada hujung hari itu, para hakim mengumumkan bahawa pendengaran kesnya akan bermula lagi pada hari Khamis, 16 Mei, dan mereka akan mendengarkan pembelaan akhir kedua-dua pihak pada hari itu.
Kita akan terus berdoa agar saudara saudari kita di Rusia akan bertenang dan terus yakin akan janji Yehuwa untuk menyelamatkan mereka daripada orang yang menindas mereka.—Mazmur 12:5.