Lompat ke kandungan

18 MEI 2020
RUSIA

Penggubal Undang-Undang di A.S. Mencadangkan Resolusi; Meminta Rusia Membebaskan Saudara Dennis Christensen

Penggubal Undang-Undang di A.S. Mencadangkan Resolusi; Meminta Rusia Membebaskan Saudara Dennis Christensen

Dua orang ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, yang merupakan sebahagian daripada cabang undang-undang kerajaan Amerika, telah mengeluarkan satu dokumen (House Resolution 958) yang mengutuk Rusia kerana memenjarakan Saudara Dennis Christensen. Inilah dokumen terkini daripada pihak kerajaan yang mengutuk layanan buruk Rusia terhadap Saksi-Saksi Yehuwa yang sekadar menjalankan ibadat mereka.

Saudara Christensen ditangkap dan dipenjarakan pada Mei 2017 kerana menyertai perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa. Dokumen yang dikeluarkan oleh Eliot L. Engel dan Michael T. McCaul pada 8 Mei 2020 mendesak pihak Rusia untuk membebaskan Saudara Christensen dengan serta-merta.

Dokumen itu menyatakan, ‘Dennis Christensen, seorang Saksi Yehuwa dan warganegara Denmark, telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun pada 6 Februari 2019. Keputusan itu dikutuk oleh Suruhanjaya Amerika Syarikat bagi Kebebasan Beragama Antarabangsa, dan menganggap perbuatan Rusia sebagai bukti tambahan bahawa mereka sengaja melanggar hak kebebasan beragama.’

Pada 25 Mei 2020, Saudara Christensen telah menghabiskan tiga tahun di penjara. Dia ialah salah seorang daripada 32 orang saudara saudari kita yang dipenjarakan di Rusia; 9 daripada mereka telah disabitkan bersalah, dan 23 berada dalam tahanan sebelum dibicarakan. Selain itu, terdapat 18 orang Saksi lain yang ditahan di rumah. Sejak 2017, pihak berkuasa Rusia telah menggeledah hampir 900 buah rumah rakan seiman kita. Secara keseluruhan, 331 orang Saksi-Saksi Yehuwa dituduh melakukan jenayah.

Rusia dikecam oleh pihak kerajaan Amerika Syarikat dan Eropah kerana menganiaya Saksi-Saksi Yehuwa yang menjalankan ibadat mereka.

Sama ada resolusi dewan ini akan diikuti atau tidak, kita yakin bahawa Yehuwa akan terus membantu saudara saudari di Rusia untuk menghadapi cubaan dengan tabah dan sukacita. Kita menantikan masanya Yehuwa melenyapkan mereka yang “menimbulkan masalah dengan menggunakan undang-undang.”—Mazmur 94:20-23.