Lompat ke kandungan

Dari kiri ke kanan: Valeriy Borshchev, Aleksandr Guryanov, dan Sergey Davidis (pakar-pakar dalam bidang hak asasi manusia) semasa sidang akademik sempena ulang tahun ke-70 pembuangan Saksi-Saksi Yehuwa ke Siberia, yang diadakan oleh Persatuan Peringatan Antarabangsa (International Memorial Society) berpusat di Moscow pada 6 April 2021

12 APRIL 2021
RUSIA

Persatuan Peringatan Antarabangsa Menganjurkan Sidang Akademik Khas untuk Ulang Tahun ke-70 Pembuangan Saksi-Saksi Yehuwa ke Siberia

Persatuan Peringatan Antarabangsa Menganjurkan Sidang Akademik Khas untuk Ulang Tahun ke-70 Pembuangan Saksi-Saksi Yehuwa ke Siberia

Pada 1 April 2021, suatu sidang media sempena ulang tahun ke-70 pembuangan Saksi-Saksi Yehuwa ke Siberia telah diadakan di Moscow. Beberapa hari kemudian, pada 6 April 2021, Persatuan Peringatan Antarabangsa (International Memorial Society) menganjurkan satu lagi sidang akademik dengan menjemput sebilangan cendekiawan dan pejuang hak kemanusiaan berbangsa Rusia. Para penceramah di sidang itu membincangkan peristiwa pembuangan Saksi-Saksi Yehuwa yang berlaku pada 1951 (disebut sebagai Operasi Utara oleh kerajaan Soviet). Mereka juga menghuraikan sejarah tentang Saksi-Saksi Yehuwa yang telah lama menderita penganiayaan di Rusia.

Operasi Utara dilakukan oleh Kementerian Keselamatan Negara Kesatuan Soviet (MGB). Pada awal tahun 1951, MGB menghantar laporan kepada Joseph Stalin, ketua pemimpin Kesatuan Soviet, yang menyatakan, “Untuk menghentikan kegiatan anti-Soviet yang dijalankan oleh kumpulan Yehuwa, MGB memutuskan untuk menangkap semua ketua agama Yehuwa, dan semua ahli agama itu dengan keluarga mereka, dari Ukraine, Belarus, Moldova, Latvia, Lithuania, dan Estonia, mesti dibuang negeri ke wilayah Irkutsk dan Tomsk.” Maka, kira-kira 10,000 orang, termasuk lebih daripada 3,000 buah keluarga telah diusir. Ini merupakan pembuangan terbesar terhadap sekumpulan ahli agama dalam sejarah Kesatuan Republik Sosialis Soviet (USSR).

Dalam kata-kata pembukaannya, Aleksandr Guryanov, tuan rumah persidangan itu, memberitahu, “Memang sesuai bagi kita meninjau sejarah Operasi Utara, terutamanya kerana penindasan terhadap kumpulan agama ini . . . masih berlaku sekarang.”

Pavel Polyan, ahli sejarah dan geografi, serta pakar dalam kajian migrasi paksa di USSR, menceritakan tentang sejarah Saksi-Saksi Yehuwa di Kesatuan Soviet dan menjelaskan salah satu sebab bagi pembuangan mereka. Pada akhir tahun 1940-an dan awal 1950-an, MGB mendapati bahawa organisasi Saksi-Saksi Yehuwa sangat teratur. Selain itu, Encik Polyan menambah, “Saksi-Saksi Yehuwa juga penginjil yang mahir, dan hal ini dibenci oleh pihak kerajaan yang bersifat ateis (tidak percaya Tuhan wujud).”

Valeriy Borshchev, pejuang hak asasi manusia dan pengerusi bersama Kumpulan Moscow Helsinki, menerangkan bagaimana kerajaan Soviet cuba guna propaganda dan pelbagai kaedah licik untuk buat Saksi-Saksi Yehuwa berhenti menyembah Tuhan mereka. Encik Borshchev berkata, “Para pegawai tinggi [hal ehwal agama] akhirnya sedar bahawa semua cara itu tidak berkesan langsung dan sia-sia saja. Kita patut memuji Saksi-Saksi Yehuwa kerana mereka benar-benar mempunyai azam yang teguh.”

Sergey Davidis, ahli Majlis Pusat Hak Asasi Manusia Peringatan (Memorial Human Rights Center Council) dan ketua program Kebajikan Tahanan Politik, mengisahkan penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa yang menjadi semakin teruk di Rusia sejak 1998. Dia menjelaskan bahawa Mahkamah Agung pada April 2017 telah memutuskan untuk membubarkan perbadanan sah Saksi-Saksi Yehuwa. Alasan utama mahkamah berbuat demikian adalah kerana Saksi-Saksi Yehuwa percaya bahawa agama mereka benar. Encik Davidis pun menekankan, “Alasan itu jelas tidak adil dan tidak masuk akal sama sekali. Ini kerana memang perkara biasa bagi sesuatu agama untuk mengajar bahawa agamanya adalah benar.”

Saudara Yaroslav Sivulskiy, wakil Persatuan Eropah Saksi-Saksi Yehuwa, memberitahu tentang cabaran yang dihadapi Saksi-Saksi Yehuwa setelah ditempatkan di Siberia. (Peristiwa-peristiwa itu diceritakan kepada Saudara Sivulskiy oleh ibu bapanya yang telah diusir ke sana.) Sesetengah keluarga dibiarkan begitu sahaja tanpa tempat tinggal di hutan Siberia yang beriklim melampau. Saudara saudari menggali lubang dalam tanah untuk berlindung. Mereka terpaksa tinggal di dalamnya berbulan-bulan sehingga petempatan yang tetap dapat dibina. Semasa hidup di hutan, saudara saudari terpaksa makan kulit kayu dan semak belukar. Ramai yang mati akibat penyakit atau kebuluran.

Seorang saudara dan tujuh saudari sedang buat tempat berlindung di hutan Siberia

Saudara Sivulskiy mengatakan bahawa kerajaan Rusia menganiaya Saksi-Saksi Yehuwa dewasa ini atas alasan yang sama dengan alasan untuk pembuangan mereka pada 1951. Kerajaan Rusia telah salah anggap bahawa pendirian neutral Saksi-Saksi Yehuwa bererti mereka mahu memberontak terhadap kerajaan. Tetapi kerajaan lupa bahawa Saksi-Saksi Yehuwa sebenarnya terkenal sebagai warganegara yang patuh kepada undang-undang, bersikap hormat terhadap pihak berkuasa, dan merupakan rakyat yang rajin bekerja.

Aleksandr Guryanov, tuan rumah persidangan itu, memberikan kata-kata penutup mengenai situasi terkini tentang penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia. Dia berkata, “Pihak kerajaan menunjukkan perasaan pahit dan benci terutamanya terhadap kumpulan agama ini.” Semua hadirin diingatkan bahawa selepas peristiwa pembuangan 70 tahun yang lalu, sejarah buruk sedang diulangi kembali. Sekali lagi, warganegara yang patuh kepada undang-undang dihukum sebagai penjenayah hanya kerana kepercayaan agama mereka, yang merupakan hak asasi yang sepatutnya dilindungi oleh perlembagaan.

Video acara ini tersedia online dalam Bahasa Rusia sahaja.