Lompat ke kandungan

Saudara Rinat Kiramov semasa perbicaraan kes jenayahnya pada April 2023

20 JUN 2024
RUSIA

Rinat Kiramov Tetap Tabah biarpun Diseksa selama Empat Hari di Penjara

Rinat Kiramov Tetap Tabah biarpun Diseksa selama Empat Hari di Penjara

Saudara Rinat Kiramov telah disabitkan pada April 2023. Kini, dia sedang menjalankan hukuman penjara di penjara koloni selama tujuh tahun. Setahun selepas disabitkan, iaitu pada 18 April 2024, pegawai penjara memindahkan Rinat ke sebuah penjara berdekatan yang mempunyai perkhidmatan perubatan. Mereka kata bahawa Rinat “disyaki” menghidap tuberkulosis. Dua hari selepas tiba di sana, sekumpulan banduan mula menyoal siasat Rinat. Mereka memaksanya untuk mendedahkan maklumat mengenai Saksi-Saksi Yehuwa di kawasannya, iaitu bandar Akhtubinsk. Rinat enggan mengatakan apa-apa. Selama empat hari, banduan-banduan itu menyeksa Rinat dan bahkan menggunakan senjata renjat terhadapnya. Mereka tidak membenarkannya tidur, duduk, atau mandi. Dia harus berdiri dari siang sampai malam dan hanya boleh makan sekali dalam sehari.

Beberapa hari selepas Rinat mula diseksa, isterinya Galina telah melawatnya. Galina sangat terkejut apabila melihat lebam-lebam di muka suaminya. Pada masa itu, Rinat juga susah berjalan dan tangannya asyik menggeletar. Galina memberitahu peguam Rinat segala yang telah berlaku lalu peguamnya segera memohon agar Rinat menjalani pemeriksaan kesihatan serta kejadian itu disiasat dengan lebih lanjut.

Selepas pihak pendakwa raya dimaklumkan mengenai situasi Rinat, mereka bertemu dengannya dan mengaturkan agar seorang doktor memeriksa keadaannya. Doktor menemui bukti yang mencukupi bahawa Rinat telah diseksa. Maka, kesnya telah diserahkan kepada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Tambahan lagi, doktor itu mengesahkan bahawa Rinat tidak menghidap tuberkulosis dan telah dipindahkan ke penjara koloni pada 17 Mei 2024. Dia masih berada di sana hingga sekarang.

Rinat dan Galina sebelum dia dipenjarakan

Rinat menjelaskan kepada Galina tentang apa yang membantunya bertabah, “Saya hanya dapat berdoa dan fikirkan ayat-ayat Bible. Tiada orang dapat merampas ini daripada saya. Saya bersyukur kerana saya telah mengkaji Bible dengan teliti sebelum kejadian ini berlaku. Barulah saya dapat ingat semula banyak ayat Bible.” Rinat menambah, “Ada orang yang sanggup dianiaya dan diseksa kerana kepercayaan mereka, tetapi mereka tidak mempunyai kuasa suci Yehuwa untuk bantu mereka. Tapi saya berbeza. Saya ada bantuan kuasa suci Yehuwa yang berlimpah-limpah untuk menguatkan saya. Jadi saya beritahu diri, ‘Sekaranglah masanya saya membuktikan kesetiaan saya kepada Yehuwa. Saya tidak akan gagal.’”

Sudah tentu kita bersedih atas berita ini. Tetapi kita amat dilegakan untuk tahu bahawa Yehuwa sentiasa memberi kita “kuasa luar biasa” agar kita dapat menghadapi cabaran dengan tabah.—2 Korintus 4:7.