29 JUN 2022
RUSIA
Rusia Keluar daripada Majlis Eropah
Pada 11 Jun 2022, Presiden Vladimir Putin menandatangani dua rang undang-undang yang membolehkan Rusia tidak lagi perlu mematuhi Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) mulai 15 Mac 2022. Maka, semua keputusan ECHR tidak lagi berkuat kuasa di Rusia mulai 15 Mac 2022. Ini termasuk keputusan ECHR pada 7 Jun yang menyatakan pengharaman Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia adalah melanggar undang-undang, dan arahan ECHR kepada Rusia untuk berhenti mendakwa Saksi-Saksi Yehuwa sebagai penjenayah, untuk membebaskan semua Saksi yang dikurung, dan untuk memulangkan semua harta yang dirampas atau membayar pemohon kira-kira 59 juta euro ($63 juta USD).
Jawatankuasa Menteri-Menteri Majlis Eropah memastikan keputusan ECHR dilaksanakan di negara-negara ahli. Rusia merupakan ahli Majlis Eropah sejak tahun 1996.
Pada 15 Mac 2022, Rusia memaklumkan Majlis Eropah bahawa Rusia ingin menarik diri daripada Majlis Eropah. Hari berikutnya, Rusia disingkirkan secara rasmi. Selepas itu, kerajaan Rusia dimaklumkan bahawa menurut terma perjanjian yang ditandatanganinya semasa menyertai Majlis Eropah, Rusia perlu mematuhi keputusan ECHR sehingga 16 September 2022.
Dengan meluluskan dua rang undang-undang yang disebut tadi, Rusia cuba membebaskan diri daripada kewajipannya terhadap Majlis Eropah. Dua rang undang-undang itu ditandatangani pada 27 Jun 2022, pada hari yang sama ECHR membuat keputusan yang berpihak kepada saudara saudari kita di Rusia.
Keputusan ECHR boleh digunakan sebagai dasar dalam mahkamah tempatan kesemua 46 negara ahli Majlis Eropah dalam kes yang melibatkan Saksi-Saksi Yehuwa. Yang terpenting, keputusan ini membuktikan bahawa tuduhan Rusia terhadap Saksi-Saksi Yehuwa langsung tidak berasas. Di pentas dunia pula, keputusan ini telah memberikan kesaksian yang mengagumkan bagi Yehuwa dan memuliakan nama-Nya. Sesungguhnya, Yehuwa harus dipuji atas pencapaian ini!—Mazmur 83:18.