Lompat ke kandungan

Menurut panel pakar hak asasi manusia PBB, 10 orang saudara dan saudari, bersama lapan orang yang lain, telah ditangkap dan ditahan di Rusia tanpa dasar. Mereka ialah Andrey Magliv, Igor Egozaryan, Ruslan Korolev, Vladimir Kulyasov, dan Valeriy Rogozin (baris atas, dari kiri ke kanan); Valeriy Shalev, Tatyana Shamsheva, Olga Silayeva, Aleksandr Solovyev, dan Denis Timoshin (baris bawah, dari kiri ke kanan)

18 MEI 2020
RUSIA

Rusia Melanggar Undang-Undang Antarabangsa kerana Menahan 18 Saksi-Saksi Yehuwa

Rusia Melanggar Undang-Undang Antarabangsa kerana Menahan 18 Saksi-Saksi Yehuwa

Satu panel pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menulis sebuah laporan yang panjangnya 15 muka surat. Laporan itu menjelaskan bahawa Rusia telah melanggar undang-undang antarabangsa dengan menangkap dan menahan 18 Saksi dari beberapa bandar antara Mei 2018 hingga Julai 2019. Panel itu menuntut agar Saksi-Saksi Yehuwa yang ditahan itu dibebaskan dengan serta-merta, tanpa dikenakan sebarang syarat.

Laporan awal panel itu telah dikeluarkan pada 15 Mei 2020. Versi laporan akhir akan didapati pada laman web PBB tidak lama lagi.

Dalam tempoh setahun, inilah kali ketiga panel Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari, telah mengutarakan pendapat yang berpihak kepada para Saksi. Dalam laporan terakhir ini, mereka mengutuk layanan buruk kerajaan Rusia terhadap saudara saudari kita.

Kumpulan Kerja itu mengutuk perbuatan Rusia yang menggunakan kekerasan semasa menahan para Saksi. Mereka juga berkata bahawa ‘pemenjaraan para Saksi oleh pihak polis langsung tidak berasas. Para Saksi tidak patut ditangkap, ditahan sebelum dibicarakan, atau dibicarakan di mahkamah.’

Kumpulan Kerja itu tidak bersetuju dengan tuduhan bahawa para Saksi terlibat dalam kegiatan ekstremis. Mereka menyatakan bahawa para Saksi sekadar menggunakan “kebebasan untuk beragama secara damai.”

Laporan Kumpulan Kerja itu juga mengutuk cara saudara saudari kita dibicarakan di mahkamah. Sebagai contoh, semasa perbicaraan, dua orang saudari kita dikurung semasa dalam bilik mahkamah. Kumpulan Kerja itu menjelaskan bahawa undang-undang antarabangsa menyatakan bahawa seseorang “tidak bersalah di sisi undang-undang sehingga disabitkan.” Maka, saudari-saudari kita tidak patut “digari atau dikurung semasa perbicaraan, atau dibawa ke bilik mahkamah seolah-olah mereka penjenayah yang berbahaya.”

Kumpulan Kerja itu menuntut Rusia untuk memadamkan rekod jenayah bagi kesemua 18 Saksi dan memberi mereka pampasan sesuai dengan undang-undang antarabangsa. Mereka juga mahu Rusia “membuat siasatan menyeluruh untuk semua kes yang melibatkan ketidakadilan” dan “mengambil tindakan terhadap mereka yang mencabuli hak [para Saksi].”

Laporan itu menyatakan bahawa 18 orang Saksi itu ialah “sebahagian kecil daripada Saksi lain yang ditangkap, ditahan, dan didakwa melakukan jenayah kerana menjalankan ibadat yang dijamin oleh hak kebebasan beragama.” Hak ini dilindungi oleh perjanjian antarabangsa yang turut dipersetujui oleh Rusia. Walaupun laporan Kumpulan Kerja itu hanya bertumpu kepada 18 orang saudara saudari, mereka menyatakan dengan jelas bahawa cadangan yang dikemukakan harus diikuti “bagi semua kes yang serupa.”

Walaupun laporan ini tidak menjamin bahawa saudara saudari kita akan dibebaskan, kita berharap bahawa situasi mereka akan menjadi lebih baik. Kita menantikan pernyataan daripada Rusia berkenaan hal ini. Sementara waktu, saudara saudari kita di Rusia harus terus menghadapi penganiayaan. Namun kita yakin bahawa Yehuwa, Bapa yang pengasih, akan membantu mereka bertabah, bersukacita, dan bertenang, seraya mereka bergantung pada-Nya.—Roma 15:13.