Lompat ke kandungan

Dua harta milik Saksi-Saksi Yehuwa di St. Petersburg; bekas pejabat cawangan di Solnechnoye (kiri) dan bekas Dewan Perhimpunan di Kolomyazhskiy (kanan)

4 JULAI 2019
RUSIA

Rusia Merampas Hak Milik Saksi-Saksi Yehuwa yang Bernilai Lebih daripada 57 Juta Dolar

Rusia Merampas Hak Milik Saksi-Saksi Yehuwa yang Bernilai Lebih daripada 57 Juta Dolar

Sejak 20 April 2017, iaitu semasa Mahkamah Agung Rusia mengharamkan ibadat Saksi-Saksi Yehuwa, saudara saudari kita telah mengalami penganiayaan yang berterusan dan dipenjarakan. Secara bertahap-tahap, pihak berkuasa juga mula merampas 131 harta milik Saksi-Saksi Yehuwa. Selain itu, terdapat 60 harta milik yang mungkin akan disita. Kesemua harta milik itu dianggarkan bernilai lebih daripada 57 juta dolar.

Salah satu harta milik yang disita ialah pejabat cawangan Rusia yang terletak di Solnechnoye. Harta ini dimiliki oleh Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania. (Foto kiri atas.) Harta milik ini sahaja bernilai sekitar 30 juta dolar. Terdapat juga 43 harta milik lain yang disita dan sebenarnya dimiliki oleh beberapa badan berkanun di Amerika Syarikat, Austria, Belanda, Denmark, Finland, Norway, Portugal, Sepanyol, dan Sweden. Perampasan semua harta milik ini melanggar undang-undang, kerana meskipun Mahkamah Agung mengharamkan ibadat Saksi-Saksi Yehuwa, pihak kerajaan tidak diberikan kuasa untuk menyita semua harta ini yang merupakan milik pihak asing.

Saksi-Saksi Yehuwa telah memfailkan laporan tentang perampasan pejabat cawangan Rusia dan memberikannya kepada Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR). Tidak kira apa keputusan yang dibuat oleh ECHR, kita yakin sepenuhnya kepada Yehuwa. Kita berdoa agar saudara saudari kita di Rusia akan terus bersikap berani semasa menghadapi penganiayaan. Semoga penggeledahan, pemenjaraan, atau penyitaan tempat ibadat tidak melemahkan semangat saudara saudari untuk terus menyembah Yehuwa “dengan bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran.”—Yohanes 4:23.