Lompat ke kandungan

Ibu pejabat Perkhidmatan Pemantauan Kewangan Persekutuan Rusia

13 JANUARI 2023
RUSIA

Rusia Terus Mengenakan Sekatan Kewangan terhadap Ratusan Saksi-Saksi Yehuwa

Rusia Terus Mengenakan Sekatan Kewangan terhadap Ratusan Saksi-Saksi Yehuwa

Perkhidmatan Pemantauan Kewangan Persekutuan Rusia, (juga dikenali sebagai Rosfinmonitoring), merupakan sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab menangani kes jenayah yang melibatkan hal kewangan. Antaranya termasuk mencegah wang daripada disalurkan kepada organisasi ekstremis. Agensi kerajaan ini juga mempunyai senarai umum nama orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas atau ekstremis. Bahkan orang yang tidak disabitkan bersalah di mahkamah mungkin dimasukkan dalam senarai ini.

Sejak Mahkamah Agung Persekutuan Rusia mengharamkan kegiatan Saksi-Saksi Yehuwa pada 2017, sebanyak 525 saudara saudari kita telah dimasukkan dalam senarai ini. a Daripada jumlah itu, lebih daripada 100 orang merupakan saudara atau saudari yang lanjut usia.

Mereka yang terdapat dalam senarai tersebut dikenakan sekatan kewangan. Misalnya, akaun bank mereka dibekukan dan setiap ahli keluarga hanya dibenarkan untuk mengeluarkan kira-kira 10,000 ruble (kira-kira RM 628) setiap bulan. Selain itu, sekatan yang dikenakan membuatnya susah bagi mereka untuk menjual beli hartanah atau kereta, membeli insurans, membuat pinjaman bank, menerima harta warisan, atau mendapat bantuan pengangguran. Keadaan ini membawa kesan parah, terutamanya kepada para Saksi yang sudah pencen atau kurang upaya kerana mereka tidak mampu membayar kos perubatan dan tidak dibenarkan untuk menggunakan pengangkutan awam.

Saudara Anton Chermnykh di Ussuriysk ialah salah seorang yang dimasukkan dalam senarai tersebut pada Disember 2019. Dia kata, “Untuk mendapat gaji saya, saya perlu menunjukkan bukti bahawa wang itu diperoleh secara sah. Setiap bulan, saya perlu bawa banyak dokumen ke bank dan staf di sana akan menghantar semua dokumen itu ke Moscow untuk disemak. Biasanya, pihak berkuasa mengambil masa dua minggu untuk memeriksanya. Setelah itu, saya akan kembali ke bank, dan seorang staf di sana akan mengeluarkan gaji daripada akaun saya. Kemudian, dia akan membekukan akaun saya dengan serta-merta. Apabila staf baharu mendapat tahu nama saya ada dalam senarai pengganas, mereka sangat takut berurusan dengan saya.”

Meskipun saudara saudari kita menghadapi banyak cabaran, mereka tetap mengekalkan sikap yang positif. Saudara Yuriy Belosludtsev ialah salah seorang yang dikenakan sekatan kewangan. Namanya dimasukkan dalam senarai tersebut dua tahun setengah sebelum dia dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama enam tahun. “Akaun bank saya telah dibekukan,” katanya. “Tetapi saudara saudari memberikan bantuan kepada saya dan isteri saya. Kami sangat berterima kasih kepada Yehuwa atas sokongan mereka.”

Kita yakin bahawa Yehuwa mengetahui segala ketidakadilan yang dialami rakan seiman kita di Rusia. Kita berdoa agar Yehuwa akan terus menjaga mereka sepanjang masa yang mencabar ini.—Matius 6:33.

a Setakat Disember 2022, 35 saudara saudari telah dikeluarkan daripada senarai Rosfinmonitoring selepas menjalani hukuman atau membayar denda yang dikenakan.