Lompat ke kandungan

Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah di Strasbourg, Perancis

10 JUN 2020
RUSIA

Rusia Terus Mengingkari Perintah ECHR

Rusia Terus Mengingkari Perintah ECHR

Sudah genap 10 tahun sejak Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) menyatakan bahawa pihak Rusia telah mencabuli hak asasi manusia dan kebebasan beragama Saksi-Saksi Yehuwa. Pernyataan ECHR ini telah diumumkan pada 10 Jun 2010. ECHR meminta Rusia untuk membayar denda kerana membatalkan pendaftaran Organisasi Keagamaan Tempatan (LRO) Saksi-Saksi Yehuwa di Moscow pada 2004. Rusia juga harus mengizinkan pendaftaran LRO para Saksi.

Selepas keputusan itu diumumkan, Saudara Ivan Chaykovskiy, iaitu pengerusi Komuniti Saksi-Saksi Yehuwa Moscow pada masa itu, berkata, “Keputusan ini menunjukkan bahawa sikap munasabah lebih berkuasa daripada sikap prasangka terhadap agama. Saya berharap agar keputusan ini akan mendorong pihak kerajaan untuk berhenti mencabuli hak kami dan tidak lagi menganiaya Saksi-Saksi Yehuwa.”

Sedihnya, hasrat itu tidak menjadi kenyataan kerana kerajaan Rusia telah mengingkari perintah ECHR dan bahkan meningkatkan usaha untuk menyeksa para Saksi di sana. Tentangan Rusia mencapai kemuncaknya ketika Mahkamah Agung Rusia mengharamkan ibadat kita pada tahun 2017. Setelah itu, para Saksi menghadapi penganiayaan secara bertubi-tubi. Ada yang ditahan, dibawa ke mahkamah, dan dipenjarakan.

Meskipun 10 tahun sudah berlalu, perintah dan pendirian ECHR terhadap Rusia tidak berubah. Pada 2010, ECHR telah menolak sama sekali semua tuduhan yang dilontarkan oleh Rusia terhadap para Saksi yang mencintai kedamaian.

Akhir sekali, ECHR menyimpulkan bahawa Jabatan Kehakiman Moscow dan mahkamah-mahkamahnya tidak mempunyai “bukti yang sah di sisi undang-undang” untuk menolak pendaftaran semula para Saksi. ECHR mengutuk pihak berkuasa di Moscow kerana mereka “tidak bersikap neutral dan tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan adil.” Selain itu, biarpun Rusia berjanji untuk mematuhi Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah, mereka telah mengingkarinya secara terang-terangan.

Seperti yang berlaku 10 tahun lalu, kempen Rusia untuk menganiaya para Saksi mendapat perhatian pihak antarabangsa. Rachel Denber, penolong pengarah Pemantau Hak Asasi Manusia (Human Rights Watch) Eropah dan Asia Tengah, berkata, “Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia terpaksa membahayakan nyawa dan kebebasan sendiri demi agama mereka.” Pada 9 Januari 2020, dia juga berkata, “Penganiayaan terhadap mereka langsung tidak wajar dan tidak berasas.”

Kita terus berdoa agar Yehuwa menguatkan saudara saudari di Rusia yang dilayan dengan tidak adil. Dia pasti akan membantu mereka untuk “tabah menempuh segala sesuatu dengan sabar dan sukacita.”—Kolose 1:11.