Lompat ke kandungan

21 FEBRUARI 2019
RUSIA

Saksi-Saksi Yehuwa Diseksa di Surgut, Rusia

Saksi-Saksi Yehuwa Diseksa di Surgut, Rusia

Hanya sembilan hari selepas Saudara Dennis Christensen disabitkan bersalah oleh sebuah mahkamah di Rusia, sekurang-kurangnya tujuh orang Saksi-Saksi Yehuwa dianiaya dengan kejam oleh pihak berkuasa Rusia di Surgut, di bahagian barat Siberia. Mereka dikenakan renjatan elektrik, ditekap sehingga tidak dapat bernafas, dan dipukul dengan teruk. Semasa saudara-saudara kita diseksa, mereka dipaksa untuk memberikan maklumat tentang lokasi perjumpaan mereka dan identiti para Saksi yang lain.

Pada waktu subuh 15 Februari 2019, pihak berkuasa Surgut telah membuat serbuan dan menangkap saudara-saudara itu lalu membawa mereka ke pejabat Jawatankuasa Siasatan. Saudara-saudara kita enggan mendedahkan maklumat tentang rakan seiman mereka. Maka selepas satu-satunya wakil perundangan mereka beredar, mereka mula diseksa. Mereka melaporkan bahawa kepala mereka ditutup dengan sebuah beg yang dilekatkan dengan pita pelekat pada bahagian leher sehingga mereka susah bernafas. Tangan mereka diikat di belakang mereka dan mereka dipukul. Kemudian mereka ditelanjangi dan disiram dengan air lalu dikenakan renjatan elektrik dengan pistol pegun. Penyeksaan yang sadis ini berlangsung selama sekitar dua jam.

Terdapat sekurang-kurangnya tiga orang Saksi yang masih ditahan. Saksi yang telah dibebaskan mendapat rawatan perubatan dengan segera dan telah melaporkan apa yang berlaku kepada pihak berkuasa.

Selain itu, selepas serbuan besar-besaran dijalankan, 19 orang Saksi didakwa dengan tuduhan “terlibat dalam kegiatan ekstremis” dan “mengatur kegiatan organisasi ekstremis.”

Menurut Kanun Jenayah Rusia, pihak berkuasa Rusia telah melanggar undang-undang dan harus dihukum. Selain itu, Persekutuan Rusia mempunyai perjanjian dengan beberapa organisasi antarabangsa yang melindungi orang daripada diseksa dengan kejam. Maka kita akan menggunakan apa sahaja sarana yang tersedia, baik di peringkat tempatan mahupun di peringkat antarabangsa, untuk memperjuangkan keadilan.

Kita yakin bahawa Yehuwa nampak semua penganiayaan yang dilakukan terhadap saudara saudari kita di Rusia. Dia pasti akan menjadi ‘penolong dan penyelamat’ mereka.—Mazmur 70:5.