2 APRIL 2021
RUSIA
Saudara Aleksandr Bondarchuk dan Sergey Yavushkin Bakal Mengetahui Keputusan selepas Lama Ditahan di Rumah
TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan
Pada 16 Februari 2022, Mahkamah Wilayah Kemerovo menolak rayuan Saudara Aleksandr Bondarchuk dan Saudara Sergey Yavushkin. Mereka tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.
Pada 22 Jun 2021, Mahkamah Daerah Zavodskiy di Kemerovo mensabitkan Aleksandr dan Sergey lalu mengenakan hukuman penjara tertangguh selama empat tahun atas mereka.
Profil
Aleksandr Bondarchuk
Tahun Lahir: 1974 (Topki, Wilayah Kemerovo)
Biografi: Ayahnya meninggal semasa Aleksandr berumur 19 tahun. Pergi sekolah untuk belajar memandu dan menggunakan jentera berat. Kemudian, belajar untuk menjadi tukang kayu. Kini membaiki relau letupan. Suka memancing, bermain ski, berbasikal, dan berlari
Berkahwin dengan Elena pada 1992. Mereka mempunyai dua anak lelaki. Elena ialah orang pertama dalam keluarganya yang belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Perkahwinan mereka diselamatkan kerana menerapkan prinsip Bible
Sergey Yavushkin
Tahun Lahir: 1960 (Rubtsovsk, Kawasan Altai)
Biografi: Bekerja sebagai tukang kimpal elektrik dan gas selama puluhan tahun. Sekarang bekerja sebagai tukang kunci. Sejak muda, gemar main gitar dan pelbagai aktiviti sukan
Berkahwin dengan Tatiana pada 1990. Tidak lama kemudian, mereka mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka kagum kerana nasihat Bible masih berguna pada zaman sekarang meskipun ditulis pada zaman dahulu. Mereka mempunyai seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan
Sejarah Kes
Pada 22 Julai 2019, jam 6 pagi, agen penguat kuasa menyerbu rumah Saudara Aleksandr Bondarchuk dan rumah Saudara Sergey Yavushkin buat kali kedua. Tapi kali ini saudara-saudara itu ditangkap dan isteri mereka disoal siasat. Alat elektronik mereka juga dirampas.
Aleksandr dan Sergey ditahan selama dua hari. Selepas itu, Mahkamah Daerah Pusat di Kemerovo menjatuhkan hukuman tahanan di rumah selama dua bulan ke atas mereka. Masa tahanan mereka dilanjutkan selama enam kali.
Semasa menjadi tahanan rumah, kedua-dua saudara itu hanya boleh keluar paling jauh 300 meter dari rumah masing-masing. Jadi, mereka tidak boleh pergi bekerja. Namun, sebelum kes ini, mereka memiliki reputasi yang baik dalam komuniti dan dihargai oleh majikan. Hasilnya, majikan Aleksandr dan majikan Sergey menelefon pegawai yang bertanggungjawab agar mereka diizinkan untuk pergi bekerja. Meskipun begitu, permohonan itu ditolak.
Aleksandr dan keluarganya sudah berulang kali merasai bantuan Yehuwa. Oleh sebab Aleksandr tidak dibenarkan bekerja dan akaun bank mereka dibekukan, memang susah mendapat wang yang mereka perlukan. Tapi Aleksandr berkata, “Disebabkan penganiayaan ini, saya belajar untuk lebih yakin dan lebih bergantung pada Yehuwa. Dulu, saya seperti tidak begitu sedar akan bantuan Yehuwa. Tapi sekarang, saya merasai Yehuwa membantu saya pada setiap detik, minit, jam, dan hari. Dia tidak pernah meninggalkan saya atau keluarga saya. Kami selalu merasai sokongan dan kasih-Nya.”
Kes tersebut juga menyebabkan Sergey mengalami banyak stres sehingga terkena strok. Meskipun begitu, dia tetap bersikap positif. Dia menjelaskan, “Kita harus sedar bahawa kesusahan ini hanya sementara dan bukanlah masalah besar, walaupun kadang-kadang tidak mudah untuk bertabah menghadapinya.”
Sergey mendapat kekuatan daripada kata-kata di 1 Korintus 15:58, iaitu, “Usaha kamu dalam khidmat Tuan kita tidak sia-sia.” Sergey menyambung, “Yehuwa ingat segalanya, dan Dia akan selalu ingat perbuatan baik kita.”
Kita berdoa untuk saudara saudari kita di Rusia, yang sudah bertekun menghadapi penganiayaan selama bertahun-tahun. Semoga mereka terus mendapat kelegaan hati dan kekuatan melalui Firman Tuhan, yang menyatakan, “Yehuwa suka akan orang yang takut kepada-Nya, dan yang menantikan kasih setia-Nya.”—Mazmur 147:11.