Lompat ke kandungan

Saudara Aleksandr Ivshin

12 FEBRUARI 2021
RUSIA

Saudara Aleksandr Ivshin, yang Berumur 63 Tahun, Dijatuhkan Hukuman Penjara Tujuh Tahun Setengah kerana Mengatur Perjumpaan Dalam Talian dan Nyanyian Lagu

Saudara Aleksandr Ivshin, yang Berumur 63 Tahun, Dijatuhkan Hukuman Penjara Tujuh Tahun Setengah kerana Mengatur Perjumpaan Dalam Talian dan Nyanyian Lagu

Keputusan Mahkamah

Pada 10 Februari 2021, Mahkamah Daerah Abinskiy di Kawasan Krasnodar mensabitkan Saudara Aleksandr Ivshin. Dia dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun setengah. Hukuman ini adalah yang paling berat dan lama atas salah seorang saudara kita sejak ibadat Saksi-Saksi Yehuwa diharamkan oleh Mahkamah Agung pada 2017.

Profil

Aleksandr Ivshin

  • Tahun Lahir: 1957 (Katav-Ivanovsk)

  • Biografi: Bekerja sebagai operator mesin larik, pembalak, dan jurutera keselamatan industri sebelum bersara. Berkahwin dengan isterinya, Galina, pada 1974. Mereka mempunyai dua anak perempuan dan lapan cucu

    Selepas mengalami penyakit yang serius, dia mula fikir tentang tujuan hidup. Dalam suatu malam, setelah membaca tiga daripada empat buku dalam Bible, iaitu Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes, dia kemudian mula belajar Bible. Dibaptis pada 1995

Sejarah Kes

Kes perundangan terhadap Saksi-Saksi Yehuwa di Abinsk bermula sejak awal tahun 2015. Organisasi Keagamaan Tempatan Saksi-Saksi Yehuwa diisytiharkan sebagai “ekstremis” dan diharamkan. Pada 23 April 2020, sekitar lima tahun kemudian, kes jenayah terhadap Saudara Aleksandr Ivshin telah dibuka. Antara “jenayah” yang dilakukannya ialah mengatur aktiviti keagamaan menerusi persidangan video dan nyanyian lagu rohani.

Ketika pihak berkuasa membongkar rumah Aleksandr dan Galina, keadaan yang tegang itu menyebabkan mereka mengalami tekanan darah tinggi yang berbahaya. Beberapa bulan selepas itu, kereta Aleksandr disita. Walaupun menghadapi pelbagai kesusahan, Aleksandr tetap bersikap positif. Dalam kata-kata penutupannya kepada mahkamah, dia menjelaskan, “Saya tidak hairan mengapa saya ialah pihak yang didakwa dalam kes ini kerana Yesus sudah beritahu hal itu akan berlaku. Di Matius 10:18 ada menyatakan, ‘Kamu akan dihadapkan kepada gabenor dan raja kerana aku. Maka kamu akan berpeluang untuk memberikan kesaksian kepada mereka dan bangsa-bangsa lain.’ . . . Kata-kata Yesus tidak buat saya patah semangat. Sebaliknya, saya rasa gembira kerana dapat beritahu mahkamah yang dihormati tentang harapan yang menantikan orang yang sedar akan keperluan rohani mereka.”

Aleksandr dan Galina sedang menambahkan suara bersama mereka yang memberikan kesaksian menyeluruh di Rusia dan di seluruh dunia. Kita yakin bahawa mereka akan diberkati dengan berlimpah-limpah kerana menaruh keyakinan kepada Yehuwa.—Yeremia 17:7.