Lompat ke kandungan

Kiri ke kanan: Andrey Magliv, Vladimir Kulyasov, Galiya Olkhova, Tatyana Alushkina, Vladimir Alushkin, dan Denis Timoshin di Mahkamah Daerah Leninsky pada 5 Disember 2019

17 DISEMBER 2019
RUSIA

Saudara Alushkin Dijatuhkan Hukuman Penjara Enam Tahun, Lima Saksi Lain dalam Pengawasan

Saudara Alushkin Dijatuhkan Hukuman Penjara Enam Tahun, Lima Saksi Lain dalam Pengawasan

Pada Jumaat, 13 Disember 2019, Vladimir Alushkin disabitkan bersalah oleh Mahkamah Daerah Leninsky di Penza dan dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun. Dia digari dan dibawa ke penjara. Lima saudara saudari yang lain, termasuk isteri Vladimir, iaitu Tatyana, juga terlibat dalam kes yang sama. Mahkamah membuat keputusan agar mereka berlima masing-masing dijatuhkan hukuman penjara tertangguh dua tahun. Sekiranya mereka melanggar syarat-syarat pengawasan yang ditetapkan, mereka akan dipenjarakan selama dua tahun. Keenam-enam saudara saudari itu akan membuat rayuan terhadap keputusan kes mereka.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Vladimir Alushkin telah ditahan pada 15 Julai 2018. Hal ini berlaku selepas kira-kira 12 orang pegawai polis bertopeng yang dilengkapi dengan senjata menyerbu masuk ke dalam rumahnya. Mereka menggeledah rumahnya selama kira-kira empat jam, merampas telefon bimbit, alat-alat elektronik, Bible, dan bahan bacaan Bible yang lain. Pada hari itu, pihak berkuasa juga menggeladah lima buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa yang lain dan membawa kira-kira 40 saudara saudari ke balai polis untuk disoal siasat.

Saudara Alushkin ditahan selama dua hari sebelum Mahkamah Daerah Pervomayskiy di Penza mengarahkan agar dia ditahan selama dua bulan di pusat tahanan sebelum perbicaraannya. Kemudian, mahkamah itu melanjutkan tempoh tahanannya sebanyak dua kali kerana perbicaraannya telah ditangguhkan. Selepas kira-kira enam bulan, dia dibebaskan dari penjara tetapi dia terus ditahan di rumah sehingga disabitkan bersalah pada 13 Disember.

Selain daripada Saudara Alushkin, Saudara Vladimir Kulyasov, Andrey Magliv, dan Denis Timoshin juga berdepan dengan tuduhan jenayah yang sama. Mereka ditahan di rumah sepanjang tempoh penyiasatan dan perbicaraan. Sejak Februari 2019, Saudari Tatyana Alushkina dan Galiya Olkhova pula dikenakan sekatan komunikasi dan pergerakan.

Pada bulan Ogos 2019, Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari (WGAD) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan sebuah laporan 12 muka surat yang mengutuk tindakan Rusia kerana menangkap dan menahan Saudara Alushkin. Menurut WGAD, Saudara Alushkin “tidak patut ditangkap dan ditahan sebelum perbicaraan, dan perbicaraan terhadap En. Alushkin tidak patut dijalankan.” WGAD juga menegaskan bahawa “En. Alushkin harus dibebaskan dengan serta-merta.” Semasa membela enam saudara saudari di Penza, pihak peguam menggunakan pernyataan WGAD yang diiktiraf secara antarabangsa. Namun, semasa keputusan mahkamah dibaca pada 13 Disember, hakim menyatakan bahawa pernyataan WGAD tidak penting dan tidak mempengaruhi keputusan Mahkamah Agung Rusia pada tahun 2017 yang mengharamkan aktiviti Saksi-Saksi Yehuwa.

Tahun ini, 18 saudara saudari telah disabitkan bersalah oleh mahkamah di Rusia dan 9 daripada mereka dijatuhkan hukuman penjara. Terdapat lebih daripada 40 saudara saudari ditahan sebelum dibicarakan dan 19 saudara saudari masih ditahan di rumah. Di seluruh Rusia, kira-kira 300 saudara saudari dituduh melakukan jenayah kerana mengamalkan kepercayaan mereka.

Walaupun kita sedih mendengar tentang penganiayaan saudara saudari kita, hal ini tidak menghairankan kerana Bible telah menubuatkannya. Tetapi, kita yakin bahawa Yehuwa akan menyokong mereka seperti yang dijanjikan-Nya. Kita berdoa agar ‘kuasa suci Tuhan yang mulia ada pada mereka.’—1 Petrus 4:12-14.