Lompat ke kandungan

Saudara Anatoliy Vilitkevich dengan isterinya, Alyona

7 APRIL 2021
RUSIA

Saudara Anatoliy Vilitkevich Tetap Teguh sementara Menunggu Keputusan Mahkamah

Saudara Anatoliy Vilitkevich Tetap Teguh sementara Menunggu Keputusan Mahkamah

TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan Saudara Vilitkevich

Pada 16 Disember 2021, Mahkamah Agung di Republik Bashkortostan menolak rayuan Saudara Anatoliy Vilitkevich. Hukuman asalnya masih tidak berubah. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.

Pada 27 September 2021, Mahkamah Daerah Leninskiy di Ufa mensabitkan Saudara Anatoliy Vilitkevich dan mengenakan hukuman penjara tertangguh dua tahun.

Profil

Anatoliy Vilitkevich

  • Tahun Lahir: 1986 (Kawasan Khabarovsk)

  • Biografi: Bekerja sebagai tukang kayu. Berkahwin dengan isterinya, Alyona, pada 2008. Mereka suka mendaki dan berkhemah

    Ibu bapa Anatoliy membantunya memupuk kasih kepada Pencipta sejak zaman muda. Dia sangat menghargai janji Tuhan tentang manusia dan binatang hidup berdamai. Dibaptis pada 1997 ketika berumur 11 tahun

Sejarah Kes

Pada 8 Ogos 2018, Saudara Anatoliy Vilitkevich disenaraikan sebagai pengganas yang disyaki di Rusia. Bersama dengan Saudara Dennis Christensen, Anatoliy juga merupakan salah seorang Saksi Yehuwa yang pertama dipenjarakan di pusat tahanan sebelum perbicaraan, selepas keputusan Mahkamah Agung Persekutuan Rusia untuk mengharamkan Saksi-Saksi Yehuwa pada April 2017.

Para penyiasat memasang kamera tersembunyi di dalam apartmen Anatoliy dan Alyona. Anatoliy dirakam melakukan perbincangan Bible dengan kawan-kawannya dan ini dianggap sebagai “jenayah.” Dia sekarang dituduh kononnya mengaturkan kegiatan bagi kumpulan ekstremis.

Apabila Anatoliy diberkas oleh polis, seorang pegawai menghina Alyona dengan berkata, “Lebih baik kamu cari suami baharu!” Anatoliy menceritakan bahawa semasa soal siasat berlangsung, dia “mengalami stres dan tekanan emosi yang sangat melampau. Mereka kata jika saya tidak mengakui semua tuduhan terhadap saya, Alyona dan kawan-kawan yang menghadiri perjumpaan di rumah saya akan menderita dengan teruk. Banyak kali saya diberitahu bahawa isteri saya akan dibuang dalam penjara juga. Pada saat-saat yang sukar itu, saya berdoa kepada Yehuwa untuk beri saya ketenangan hati.”

Anatoliy sudah pun dipenjarakan lebih daripada dua bulan di pusat tahanan sebelum perbicaraan, hampir sembilan bulan ditahan di rumah, dan dikenakan sekatan perjalanan lebih daripada satu setengah tahun. Semasa di penjara, dia menulis dalam buku nota tentang watak-watak Bible yang juga mengalami penganiayaan. Anatoliy berkata, “Saya dapati walaupun Yehuwa tidak menghalang mereka daripada dianiaya, tetapi Dia terus bantu mereka. Ini amat menguatkan dan meyakinkan saya bahawa Yehuwa pasti menyokong saya juga. Yang penting ialah saya mesti tetap setia kepada-Nya. ” Surat-surat daripada isterinya juga beri dorongan kepada Anatoliy. Dia menjelaskan, “Dalam salah satu suratnya yang pertama, Alyona mengirim beberapa foto kawan-kawan dan orang tersayang. Setiap malam, saya melihatnya dan mengenang kembali sesuatu perkara baik yang saya buat dengan orang dalam foto itu. Saya dapat rasa seolah-olah mereka di sisi saya.”

Teladan Anatoliy dan Alyona yang tetap setia sangat menggalakkan kita semua. Kita gembira kerana saudara saudari kita yang mengalami penganiayaan di Rusia masih kuat secara rohani dan semakin rapat dengan Yehuwa. Kita juga bersyukur kepada Yehuwa yang mendengarkan semua doa kita bagi mereka di Rusia.—2 Korintus 1:11.