Lompat ke kandungan

Saudara Andrey Andreyev (tengah) dan (dari kiri ke kanan) anak perempuannya, Albina; isterinya, Svetlana; anak perempuan dan menantunya, Anzhelika dan Anatoliy; (sisipan) Saudara Andreyev dan isterinya bersatu semula selepas dia dibebaskan dari penjara

27 FEBRUARI 2023
RUSIA

Saudara Andrey Andreyev Dibebaskan dari Penjara di Rusia

Saudara Andrey Andreyev Dibebaskan dari Penjara di Rusia

Pada 22 Februari 2023, Saudara Andrey Andreyev telah dibebaskan dari penjara di Rusia. Dia telah dipenjarakan selama lebih daripada tiga tahun.

Pada 16 Oktober 2019, pihak berkuasa telah menyerbu banyak rumah dan menyoal siasat serta menahan ramai Saksi-Saksi Yehuwa di Kursk, termasuk Andrey. Pada 3 Jun 2021, Andrey dijatuhkan hukuman penjara selepas berada di pusat tahanan sebelum perbicaraan selama hampir 20 bulan.

Semasa Andrey di penjara, dia berusaha untuk menjaga keperluan rohani isterinya, Svetlana, dan dua anak perempuannya, iaitu Anzhelika dan Albina. Dia telah menggalakkan mereka melalui surat-suratnya dan ayat Bible. Dia juga menulis ceramah perkahwinan bagi Anzhelika, yang telah berkahwin semasa dia di penjara. Anzhelika kata, ‘Dia telah menulis sebuah ceramah yang sangat indah dan menyentuh hati semua orang. Kami rasa seolah-olah dia ada bersama kami.’

Keluarga Andrey perlu menaiki bas selama lapan jam untuk pergi melawatnya. Biarpun perjalanan ini memenatkan, Svetlana kata bahawa dia dan anak-anaknya selalu dijaga oleh para Saksi yang tinggal di kawasan itu. Mereka menyediakan tempat tinggal, makanan, dan pengangkutan untuk pergi ke pusat tahanan. Ada juga saudara saudari yang bantu berbaris dan menunggu giliran di pusat tahanan, sering kali untuk semalaman, supaya ahli keluarga Andrey dapat melawatnya.

Sekumpulan kawan dan keluarga menyambut Saudara Andreyev selepas dia dibebaskan dari penjara

Walaupun Andrey terpaksa menderita akibat layanan yang buruk di penjara, dia tetap kuat secara rohani. Oleh sebab Andrey menunjukkan kelakuan Kristian yang baik, pegawai penjara sangat menghormatinya dan mengizinkan dia untuk menerima lebih banyak pelawat. Mengenai hukumannya, Andrey kata, “Saya tidak marah, benci, atau berdendam dengan sesiapa pun. Dengan bantuan Tuhan, saya dapat tetap setia dan bersukacita.”

Kita yakin bahawa tekad Andrey untuk terus menunjukkan kasih Kristian akan diberkati dengan berlimpah oleh Yehuwa.—1 Yohanes 4:16.