5 APRIL 2021
RUSIA
Saudara Andrey Gubin Tetap Teguh biarpun Dituduh kerana Imannya
TERKINI | Mahkamah Rusia Membatalkan Keputusan Bersalah atas Saudara Gubin
Pada 1 Februari 2022, Mahkamah Wilayah Autonomi Yahudi membatalkan keputusan bersalah atas Saudara Andrey Gubin. Jadi, kesnya dikembalikan ke mahkamah rendah untuk dibicarakan semula.
Pada 9 September 2021, Mahkamah Daerah Birobidzhan di Wilayah Autonomi Yahudi mensabitkan Saudara Andrey Gubin dan mengenakan hukuman penjara tertangguh dua tahun dan enam bulan. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.
Profil
Andrey Gubin
Tahun Lahir: 1974 (Bandar Saran, Kazakhstan)
Biografi: Mempunyai seorang abang dan kakak. Semasa muda, bekerja sambilan sebagai pelajar tukang kunci selepas balik sekolah untuk bantu membiayai keluarganya. Kemudian, bekerja sebagai operator mesin larik dan jentera berat. Minat bersukan, menulis puisi, dan bermain alat muzik
Sejak kecil, dia stres melihat kejahatan dan ketidakadilan di dunia. Merasai kedamaian dan mempunyai tujuan hidup kerana belajar Bible. Janji Tuhan untuk membawa kedamaian dan keadilan menyentuh hatinya dan mengerakkannya untuk membaktikan diri kepada Tuhan Yehuwa. Dibaptis pada 1991 ketika berumur 17 tahun. Berkahwin dengan Tatyana pada 2007. Berpindah ke Birobidzhan pada 2011
Sejarah Kes
Pada 12 Februari 2020, pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) mula menyiasat Saudara Andrey Gubin. Pada 17 September 2020, kes Andrey mula dibicarakan di mahkamah.
Kes Andrey merupakan salah satu daripada 19 kes penyiasatan jenayah ke atas saudara saudari kita di Wilayah Autonomi Yahudi. Kesemua kes tersebut bermula selepas serbuan rumah besar-besaran yang dikenali sebagai operasi “Hari Penghakiman.” Pada 17 Mei 2018, 150 pegawai penguat kuasa menyerbu 22 buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka merampas kad bank, wang, foto, komputer, dan alat elektronik milik para Saksi.
Akaun bank Andrey dan Tatyana juga disekat oleh pihak berkuasa. Akibatnya, mereka menghadapi masalah kewangan yang serius. Kes perbicaraan yang berlangsung selama berbulan-bulan itu juga menyebabkan kesihatan Tatyana menjadi semakin teruk. Meskipun demikian, pasangan ini mendapat banyak kelegaan dengan membaca Bible secara tetap. Mereka terutamanya mendapat manfaat dengan menerapkan nasihat Bible tentang cara menghadapi kesusahan.
Keyakinan Andrey terhadap Yehuwa dan organisasi-Nya meningkat kerana merasakan sokongan yang melimpah daripada saudara saudari di sidang. Sebagai contoh, suatu hari Andrey risau kerana situasinya. Lalu dia memberitahu masalahnya kepada seorang saudara yang juga menghadapi tuduhan jenayah. Pada mulanya, saudara itu memberitahu Andrey bahawa perasaannya memang biasa. Kemudian, saudara itu mengingatkan Andrey tentang teladan Yesus. Semasa Yesus dianiaya demi nama Yehuwa, dia menganggapnya sebagai suatu penghormatan. “Selepas itu, saya rasa semakin tenang. Saya bertekad untuk terus melakukan kehendak Bapa kita,” kata Andrey.
Kita berdoa semoga Andrey dan Tatyana terus bergantung pada kekuatan dan kelegaan hati daripada Firman Tuhan dan keluarga rohani kita. Kita yakin bahawa “orang yang takut kepada Tuhan yang benar akan beroleh kebahagiaan.”—Pengkhutbah 8:12.