24 JULAI 2020
RUSIA
Saudara Dennis Christensen Dimasukkan ke Sel Hukuman untuk Kali Kedua
Pada 15 Julai 2020, Saudara Dennis Christensen telah dimasukkan ke sel hukuman khas (SHIZO) buat kali kedua. Dia harus berada di sana sehingga sekurang-kurangnya 27 Julai. Hal ini berlaku hanya empat hari selepas dia dikeluarkan dari SHIZO. Jika dia dimasukkan ke SHIZO buat kali ketiga, dia akan dianggap sebagai penjenayah yang berbahaya lalu dihantar ke sel hukuman khas (EPKT) untuk maksimum enam bulan. Peguam Saudara Christensen akan mengemukakan rayuan atas dakwaan terbaharu ini.
Pihak berkuasa menghukum Saudara Christensen kerana dia tidak dapat melakukan kerja yang diberikan kepadanya di penjara. Dia ditugaskan untuk bekerja di kilang menjahit. Tetapi, kesihatannya semakin merosot sejak dipenjarakan. Doktor di penjara mendakwa bahawa Saudara Christensen masih dapat bekerja, asalkan dia diberi masa untuk berehat dan bersenam. Namun, doktor lain yang memeriksa Saudara Christensen sebelum ini mendapati bahawa kesihatannya tidak mengizinkannya untuk melakukan kerja itu.
Banduan yang dihukum di SHIZO tidak diizinkan untuk membeli makanan, menerima atau membuat panggilan telefon, menerima pelawat, atau mendapat bungkusan yang dikirim. Namun, undang-undang mengizinkan banduan di sana untuk dilawat oleh pemimpin agama. Memandangkan Saksi-Saksi Yehuwa tidak lagi diiktiraf oleh kerajaan Rusia, Saudara Christensen tidak boleh menjemput para penatua untuk melawatnya.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, pada 23 Jun, Mahkamah Daerah Lgov telah membenarkan Saudara Christensen dibebaskan lebih awal selepas membayar denda. Tetapi beberapa hari kemudian, pihak pendakwa telah membuat rayuan untuk menghalang pembebasannya. Untuk mencapai tujuan itu, nampaknya pihak penjara bersubahat dengan pihak pendakwa untuk memburuk-burukkan nama baik Saudara Christensen.
Meskipun demikian, Saudara Christensen dan isterinya Irina, tetap bersikap positif. Kita sangat digalakkan kerana melihat bagaimana Yehuwa membantu umat-Nya untuk menghadapi cabaran dengan tabah dan sukacita.—Kolose 1:11.