21 JANUARI 2021
RUSIA
Saudara Feliks Makhammadiyev Dibebaskan dari Penjara Rusia dan Dibuang Negeri ke Uzbekistan
Pada 31 Disember 2020, Saudara Feliks Makhammadiyev dibebaskan dari penjara di Rusia. Mahkamah Daerah Belyayevsky di Wilayah Orenburg membuat keputusan untuk menempatkannya di sebuah pusat tahanan sementara sehingga dia memperoleh dokumen yang diperlukan untuk dibuang negeri ke negara asalnya di Uzbekistan. Hal ini demikian kerana Rusia telah membatalkan kewarganegaraannya pada bulan April 2020. Pada 20 Januari 2021, pihak berkuasa menghantarnya ke Uzbekistan dengan kereta api. Kami gembira untuk melaporkan bahawa Feliks tiba dengan selamat di Uzbekistan pada 21 Januari 2021. Isterinya, Yevgeniya, telah membuat perjalanan ke Uzbekistan dua hari sebelum itu. Jadi, dia dapat menyambut Feliks semasa dia tiba.
Feliks sudah tinggal di Rusia kira-kira 18 tahun. Pada 2002, semasa remaja, dia dan ibunya berpindah dari Uzbekistan ke Saratov, Rusia. Pada 2004, semasa berusia 19 tahun, dia dibaptis. Dia mengahwini Yevgeniya pada 2011.
Pada 12 Jun 2018, rumah Feliks dan Yevgeniya diserbu oleh para pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) yang bersenjata dan bertopeng serta polis tempatan. Feliks ditangkap dan ditahan hampir satu tahun sebelum perbicaraan. Dia mendapat kekuatan dengan selalu berdoa. Dia menjelaskan: “Setiap hari saya berdoa kepada Yehuwa untuk memberi saya ketenangan dan sukacita untuk hari itu.”
Kemudian, Feliks dan lima saudara lain dinyatakan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara pada 19 September 2019. Setelah rayuan mereka ditolak, Feliks dan empat daripada lima saudara itu dipindahkan ke penjara di Orenburg. Penjara itu terletak lebih daripada 800 kilometer jauh dari rumah dan keluarga mereka di Saratov. Setelah tiba di sana, mereka dibelasah dengan teruk sekali.
Feliks dikenali sebagai orang yang suka senyum. Sepanjang masa yang susah itu, dia tetap bersukacita dan mengekalkan senyumannya. Yevgeniya berkata, “Saya bangga dengan dia. Dia tenang dan berani semasa di mahkamah. Dia sangat tabah dan bahkan membantu saya untuk terus bertabah.”
Walaupun pihak berkuasa Rusia berniat untuk mencederakan Feliks agar berhenti menyembah Yehuwa, dia kata bahawa sebaliknya penganiayaan itu mengukuhkan kesetiaannya kepada Yehuwa. Kata-katanya mengingatkan kita tentang Kejadian 50:20, ketika Yusuf memberitahu adik-beradiknya: “Walaupun kamu berbuat jahat kepadaku, Tuhan telah mengubahnya menjadi kebaikan.”