Lompat ke kandungan

Empat belas hari selepas dibebaskan dari penjara di Rusia, Saudara Konstantin Bazhenov bersatu semula dengan isterinya, Irina, di Ukraine, sejurus selepas merentasi sempadan pada 19 Mei 2021

20 MEI 2021
RUSIA

Saudara Konstantin Bazhenov Tiba di Ukraine dengan Selamat selepas Dibuang Negeri dari Rusia

Saudara Konstantin Bazhenov Tiba di Ukraine dengan Selamat selepas Dibuang Negeri dari Rusia

Saudara Konstantin Bazhenov telah dibebaskan dari sebuah penjara di Rusia pada 5 Mei 2021. a Selepas ditahan untuk sementara, dia dibuang negeri ke Ukraine pada 19 Mei 2021. Isterinya Irina telah membuat perjalanan ke Ukraine sebelum itu untuk berjumpa dengannya semasa dia tiba. Konstantin telah dibuang negeri kerana Rusia telah membatalkan kewarganegaraannya pada Mei 2020.

Sejurus selepas merentasi sempadan ke Ukraine, Saudara Konstantin Bazhenov dan isterinya, Irina, disambut oleh sepasang suami isteri yang memegang kad dengan kata-kata di Yesaya 54:17: “Semua senjata yang dihasilkan untuk melawanmu akan menjadi tidak berguna, . . . firman Yehuwa”

Profil

Pada 1975, Konstantin dilahirkan di Veliky Novgorod, sebuah bandar di barat Rusia. Keluarganya tidak beragama. Semasa kecil, dia dan keluarganya berpindah ke Ukraine. Semasa muda, Konstantin belajar gimnastik dan gemar muzik. Dia mendapat ijazah dari sekolah muzik dan menjadi ketua pancaragam bras.

Biarpun belum belajar Bible, Konstantin memang percaya bahawa keganasan dan perang itu salah. Jadi, apabila dia disuruh berkhidmat dalam tentera Ukraine, dia menolaknya. Ketika di kolej, dia mula fikir soalan tentang kehidupan dan agama. Dia mencari jawapan kepada soalan-soalannya menerusi beberapa aliran agama. Akhirnya, dia menemui kebenaran semasa dia belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dibaptis pada 1996.

Konstantin berkahwin dengan Irina pada 2001. Dia menampung kehidupan mereka dengan bekerja sebagai penurap bata, terutamanya untuk ketuhar dan tempat api. Mereka berpindah ke Rusia pada 2009.

Serbuan dan Tahanan

Pada 12 Jun 2018, pasukan gerak khas yang bersenjata menyerbu tujuh buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa di Saratov, termasuk apartmen Konstantin dan Irina. Konstantin dan dua orang saudara dari Saratov ditangkap dan ditahan sebelum perbicaraan.

Sejurus selepas dia tiba di pusat tahanan, Konstantin tahu bahawa dia perlu sokongan dan kelegaan hati daripada Firman Tuhan, tapi dia tidak ada Bible. Konstantin mengenang kembali, “Isteri saya ada kirim satu buku nota. Jadi, setiap hari saya catatkan ayat Bible yang saya ingat.” Yehuwa bantu dia ingat sekitar 500 ayat Bible dalam masa dua bulan! Selepas dia terima sebuah Bible, dia habis membacanya dalam masa empat bulan sebab dia sangat rindu baca Bible. Firman Tuhan memberinya kekuatan. Dia juga meraih sukacita apabila kongsi isi-isi menarik dengan isteri dan kawan-kawannya menerusi surat.

Konstantin sering berdoa bersungguh-sungguh kepada Yehuwa untuk tabah mengharungi saat yang susah dalam penjara, terutamanya semasa dia rasa keseorangan dan rindu isterinya. Dia mengingat kembali, “Saya guna peluang itu untuk berdoa sambil sujud dan menangis, saya meluahkan isi hati saya kepada Yehuwa. Saya juga catatkan permintaan saya dalam sekeping kertas dan tandakan permintaan yang dijawab Yehuwa. Ini buat saya yakin bahawa Yehuwa dekat dengan saya.” Dia dibebaskan dari tahanan sebelum perbicaraan pada 20 Mei 2019. Namun, liku-liku hidupnya belum berakhir lagi.

Disabitkan

Konstantin dan lima saudara lain dari Saratov kemudiannya disabit bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara pada 19 September 2019. Setelah rayuan mereka ditolak beberapa bulan kemudian, lima saudara itu dipindahkan ke penjara di Orenburg. Konstantin pula dipenjarakan di Dimitrovgrad, lebih daripada 500 kilometer dari rumah dan isterinya di Saratov.

Konstantin menyambut Peringatan Kematian Yesus 2020 dalam penjara

Semasa terpisah daripada Konstantin, Irina mendapat dorongan dengan membaca Berita JW tentang biografi saudara saudari yang berani menghadapi penganiayaan dengan tabah dan sukacita. Irina juga digalakkan apabila melihat Konstantin tetap teguh dan memiliki kedamaian batin. Dalam temu ramah yang diadakan semasa Konstantin masih dalam penjara, Irina menjelaskan, “Kata-katanya selalu bernada positif!” Semasa Irina dibenarkan untuk telefon Konstantin, mereka akan nyanyi lagu, berdoa, dan belajar bersama. Irina kata bahawa perbincangan Bible mereka menguatkan imannya terhadap Yehuwa dan membantunya tetap bersukacita tidak kira dalam apa jua situasi.

Konstantin berada di pusat tahanan sebelum perbicaraan selama lebih daripada 14 bulan. Dia juga dipenjarakan kerana imannya selama lebih daripada satu setengah tahun. Dia dibebaskan sembilan bulan lebih awal daripada hukuman asalnya, iaitu penjara tiga tahun setengah. Ini kerana masanya dalam tahanan sebelum perbicaraan dikira satu setengah kali masa hukumannya. Selain itu, dia dibebaskan dua bulan lebih awal sebelum habis tempoh penjaranya kerana diberi parol.

Kita bersukacita kerana Konstantin dibebaskan dan bersatu semula dengan Irina. Semua saudara saudari kita yang dikasihi dan yang tabah mengharungi penganiayaan menunjukkan bahawa kata-kata Raja Daud memang terpahat di hati mereka. Ayat itu berbunyi, “Aku berlindung di bawah naungan sayap-Mu sehingga kesusahanku berlalu.”—Mazmur 57:1.

a Semasa Konstantin dibebaskan dari penjara, Irina dan kira-kira 20 saudara saudari tunggu di luar untuk menyambutnya sebelum dia dipindahkan ke pusat tahanan sementara sambil menunggu pembuangan negeri. Para pegawai yang ditugaskan untuk mengiring Konstantin membenarkannya bersama dengan isterinya selama 30 minit sebelum membawanya ke pusat tahanan.