7 JULAI 2021
RUSIA
Saudara Konstantin Moiseyenko Mendapat Kekuatan daripada Contoh Orang Lain
TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan
Pada 9 September 2021, Mahkamah Wilayah Zeyskiy Amur menolak rayuan Saudara Moiseyenko. Hukuman asalnya masih berkuat kuasa. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.
Pada 14 Julai 2021, Mahkamah Daerah Zeyskiy di Wilayah Amur telah mensabitkan Saudara Konstantin Moiseyenko. Dia dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama enam tahun. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini
Profil
Konstantin Moiseyenko
Tahun Lahir: 1976 (Abakan, Republik Khakassia)
Biografi: Ada sepasang adik lelaki kembar. Semasa muda, terlibat dalam seni bela diri. Telah menjadi pentadbir sistem komputer dan jurutera
Pada 1998, berkahwin dengan Margarita, seorang pereka fesyen. Pada awal tahun 2000, mereka mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Ketepatan Bible mengenai sejarah dan sains mendorong Konstantin untuk belajar lebih banyak. Dia dan isterinya kemudiannya dibaptis pada tahun itu juga
Bapanya meninggal 10 tahun yang lalu. Menjaga neneknya yang buta selama enam tahun sehingga dia meninggal baru-baru ini
Sejarah Kes
Pada 11 Mac 2019, Bahagian Penyiasatan Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) di Wilayah Amur membuka kes jenayah terhadap Saudara Konstantin Moiseyenko. Kemudian, para pegawai menyerbu lima rumah Saksi, termasuk rumah Konstantin. Pihak berkuasa merampas komputer riba, telefon bimbit, dan rekod peribadi. Nama Konstantin dimasukkan dalam senarai ekstremis Persekutuan Rusia. Akibatnya, dia tidak dapat mengeluarkan wang daripada akaun banknya.
Konstantin mengenang kembali pengalaman yang menggalakkan semasa menghadiri konvensyen bersama isterinya di Seoul, Korea Selatan, pada 2018. Semasa program itu, salah seorang penceramah meminta hadirin yang pernah dipenjarakan atas keneutralan mereka untuk berdiri. Konstantin menceritakan, “Hampir semua saudara dalam stadium itu berdiri. [Penceramah] berkata, ‘Lihatlah! Mereka masih hidup dan dalam keadaan yang baik!’ Ini bantu saya sedar bahawa tidak mustahil untuk bertabah di bawah penganiayaan.” Penceramah juga telah menekankan ayat di Mazmur 23:5: “Di depan mata musuh-musuhku, Engkau mengadakan jamuan untukku; Engkau melumuri kepalaku dengan minyak dan mengisi cawanku sehingga penuh.” Konstantin mengingat kembali bahawa kata-kata tersebut benar-benar telah menyentuh hati mereka.
Konstantin juga menghargai sokongan daripada persaudaraan kita. Dia kagum bahawa Saksi dari serata dunia benar-benar mengambil berat terhadap butiran kesnya dan berdoa untuknya. Dia berkata, “Saya nampak sekumpulan besar rakan seiman berdiri di samping setiap saudara saudari yang mengalami penganiayaan di Rusia. Kumpulan besar ini bertindak selaras dengan kata-kata di 1 Yohanes 3:16, yang sebahagiannya berbunyi, ‘Kita juga mesti menyerahkan nyawa kita untuk saudara-saudara kita.’”
Kita bersukacita semasa mendengar bahawa Yehuwa terus menguatkan saudara saudari kita di Rusia. Hal ini menambahkan keyakinan kita bahawa Yehuwa juga akan memberikan “kuasa dan kekuatan” semasa kita menghadapi penganiayaan yang serupa.—Mazmur 68:35.