25 MAC 2021
RUSIA
Saudara Nikolay Aliyev Dianiaya kerana Imannya tetapi Tetap Berani
TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan
Pada 2 September 2021, Mahkamah Wilayah Khabarovsk menolak rayuan Saudara Nikolay Aliyev. Hukuman asalnya masih berkuat kuasa. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.
Saudara Nikolay Aliyev Menerima Hukuman Penjara Tertangguh
Pada 4 Jun 2021, Mahkamah Daerah Pusat di Komsomolsk-on-Amur menjatuhkan hukuman penjara tertangguh selama empat tahun setengah atas Saudara Nikolay Aliyev.
Profil
Nikolay Aliyev
Tahun Lahir: 1978 (Komsomolsk-on-Amur)
Biografi: Semasa kecil, tertanya-tanya bagaimana kehidupan dan alam semesta wujud. Menemui jawapannya daripada Bible. Berhenti sukan pertempuran demi mengikut ajaran dan teladan Yesus yang suka kedamaian. Dibaptis sebagai Saksi Yehuwa pada 1993
Berkahwin dengan Alesya pada 2016. Mereka memiliki banyak hobi, seperti melancong, mendaki gunung, dan bermain ski
Sejarah Kes
Pada awal pagi 22 Mei 2020, para pegawai penguat kuasa bandar Komsomolsk-on-Amur menyerbu rumah Nikolay dan Alesya. Ketika para pegawai masuk, mereka memukul Nikolay sehingga jatuh dan menggeledah rumah itu selama lima jam. Lalu mereka menahan Nikolay dan Alesya. Semasa soal siasat berlangsung, pegawai penguat kuasa mencadangkan Nikolay untuk tukar agamanya kepada sesuatu yang diterima umum. Mereka juga mendesak Alesya untuk bekerjasama supaya “sesuatu yang buruk” tidak berlaku kepada suaminya. Meskipun diancam, mereka akhirnya dibebaskan dan dibenarkan pulang ke rumah.
Nikolay dikuatkan kerana memikirkan bagaimana Yehuwa membantunya dalam pelbagai cara saat menghadapi kesusahan. Dia menjelaskan, “Semasa diuji, kita tidak dapat menghadapinya seorang diri. Saya lebih menyedari bagaimana Yehuwa menjawab doa saya dan memberikan bimbingan. Saya semakin yakin akan kebenaran kata-kata Paulus yang berbunyi, ‘Apabila aku lemah, aku menjadi kuat.’”—2 Korintus 12:10.
Nikolay dan Alesya terus berusaha untuk tetap tenang dan berani. Mereka mencetak ayat di Yesaya 41:10 dan menampalkannya pada peti sejuk. Nikolay menyambung, “Semasa keadaan menjadi sangat susah, saya baca ayat ini dan saya rasa lebih mudah menghadapi kesusahan itu. Ayat ini menggalakkan saya untuk tidak perlu takut. Apa yang paling menguatkan saya ialah jaminan Yehuwa bahawa Dia di samping saya. Dia begitu rapat seolah-olah memeluk saya dengan tangan kanan-Nya, seperti sahabat karib.” Kita tidak ragu sama sekali bahawa Yehuwa sentiasa menguatkan umat-Nya yang setia.