16 DISEMBER 2020
RUSIA
Saudara Ruslan Alyev Bakal Dijatuhkan Hukuman selepas Ditahan selama 18 Bulan
Keputusan Mahkamah
Pada 17 Disember 2020, a Mahkamah Daerah Leninskiy di Rostov-on-Don dijadualkan untuk mengumumkan keputusan kes Saudara Ruslan Alyev. Pihak pendakwa memohon supaya Saudara Ruslan dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama tiga tahun.
Profil
Ruslan Alyev
Tahun Lahir: 1987 (Chunoyar, Kawasan Krasnoyarsk)
Biografi: Keluarganya selalu berpindah antara Azerbaijan dengan Ukraine. Dia pernah bekerja sebagai pembina, jurujual, guru gitar, dan guru bahasa Inggeris dan Cina. Suka bersukan, mengarang puisi dan menggubah muzik. Dia boleh bertutur dalam empat bahasa. Isterinya, Kristina, juga pandai bercakap Cina
Dia mula membaca dan belajar Bible semasa berumur 13 tahun. Apabila pengetahuannya bertambah, dia sedar bahawa Bible mengandungi jawapan kepada semua soalannya tentang kehidupan. Maka dia membaktikan diri dan dibaptis pada tahun 2006
Sejarah Kes
Pada 6 Jun 2019, Saudara Ruslan Alyev dituduh melakukan jenayah. Pada 10 Jun 2019, dia ditahan. Selepas 24 jam, Ruslan dan seorang lagi saudara, iaitu Semyon Baybak, ditahan di rumah sendiri. Pada mulanya, tempoh penahanan Ruslan hanyalah lapan minggu, tetapi tempoh itu telah dilanjutkan sebanyak sembilan kali. Oleh itu, dia sudah ditahan di rumah selama 18 bulan. Sepanjang waktu itu, dia tidak dibenarkan untuk bergaul dengan sesiapa pun, kecuali peguamnya, pegawai penyiasat, inspektor, dan isterinya. Dia juga tidak dibenarkan untuk menggunakan Internet, dan menerima atau mengirim surat.
Ruslan berkata bahawa sebelum dia ditahan, dia dan isterinya selalu berbincang tentang apa yang akan dilakukan oleh mereka jika dianiaya. Dia berkata, “Kami cuba mengikut rutin rohani yang baik. Daripada ‘Buku Tahunan’ dan kisah hidup saudara saudari, kami dapat jangka apa yang akan berlaku. Saudara saudari itu dapat terus berfikiran positif dan tidak tawar hati meskipun menghadapi situasi yang sangat mencabar. Kami berdoa meminta Yehuwa untuk memberi kami kekuatan agar dapat mengharungi apa yang bakal berlaku.”
Ruslan juga pernah berbincang dengan saudara saudari lain tentang apa yang akan dilakukan sekiranya mereka dianiaya. Perbincangan sebegini telah membantunya. Dia berkata, “Untuk menggalakkan dan membantu saudara saudari, saya mencari banyak ayat Bible dan rencana daripada bahan bacaan kita. Apabila saya memerlukan kelegaan, ayat Bible dan rencana itu telah membantu saya.”
Ruslan dan Kristina sudah bersedia untuk menghadapi penganiayaan. Jadi, apabila pihak berkuasa menggeledah rumah mereka, mereka tidak panik. Ruslan berkata, “Saya rasa tenang dan tidak risau.” Semasa siasatan berlangsung, seorang penyiasat mengugut bahawa Kristina juga akan dituduh melakukan aktiviti jenayah. “Isteri kesayangan saya langsung tidak takut dengan ugutan mereka. Keberaniannya menggalakkan dan menguatkan saya,” ujar Ruslan.
Memandangkan Ruslan ditahan di rumah, kehidupan mereka bertambah susah. Biarpun begitu, Ruslan berkata, “Yehuwa selalu memenuhi keperluan fizikal, rohani dan emosi kami. Dia tidak pernah mengecewakan kami. Sejak dulu lagi, kami berusaha untuk menjalani kehidupan yang sederhana dan belajar untuk bergantung pada bantuan Yehuwa. Oleh itu, kami tidak terlalu risau.”
Semasa salah satu perbicaraan untuk melanjutkan tempoh penahanan Ruslan, pihak berkuasa tidak membenarkan saudara saudari masuk ke dalam bilik perbicaraan. Jadi, mereka pun berkumpul di luar mahkamah dan menepuk tangan apabila Ruslan keluar. Mereka juga bersorak dan berkata, “Ruslan, kami sokong kamu!”
Kita amat tersentuh dengan teladan baik saudara saudari kita di Rusia. Meskipun mereka dianiaya tanpa sebab, mereka tetap percaya kepada Yehuwa dengan sepenuhnya.—Mazmur 118:6-9.
a Mungkin berubah.