19 JANUARI 2021
RUSIA
Saudara Sergey Britvin dan Saudara Vadim Levchuk Tetap Teguh meskipun Rayuan Ditolak
Pada 19 Januari 2021, Mahkamah Wilayah Kemerovo menolak rayuan Saudara Sergey Britvin dan Saudara Vadim Levchuk. Hukuman penjara empat tahun yang dijatuhkan atas mereka pada asalnya kini berkuat kuasa. Namun, memandangkan mereka sudah ditahan lebih daripada tiga tahun sebelum perbicaraan dan semasa di rumah, mereka boleh dibebaskan dalam masa kira-kira satu tahun. Mereka berdua bertekad untuk tetap teguh dan melakukan apa yang terdaya dalam situasi mereka.
Pada penghujung perbicaraan pertama, dua saudara itu bercakap dengan berani tentang iman mereka terhadap Yehuwa dan manfaat yang diterima kerana menyembah-Nya.
Sergey memberitahu mahkamah, “Apakah yang diingini pihak pendakwa daripada saya? Supaya saya menolak iman saya? Tetapi iman kepada Yehuwa yang telah membantu saya membuat perubahan dan menjadi rakyat negara Rusia yang lebih baik. Saya bersyukur kepada Tuhan yang membantu menyelamatkan perkahwinan [saya] dan memperbaik kehidupan [saya]. Syukurlah kepada Yehuwa, saya mempunyai tujuan sebenar dalam hidup dan harapan masa depan yang indah. Perkara paling bernilai yang saya miliki ialah hubungan yang erat dengan Tuhan Yehuwa. Saya menghargai persahabatan saya dengan-Nya, tidak kira apa pun tuduhan palsu yang dilemparkan mereka terhadap saya.”
Vadim berkata, “Secara peribadi, dari saat saya ditahan, saya merasai ketenangan yang luar biasa kerana Yehuwa membantu saya dan saya bertekad untuk tetap setia kepada Yehuwa! Tidak kira apa keputusannya, pandangan Tuhan paling penting bagi saya. Tiada perbezaan bagi saya di mana saya berada kerana saya akan terus memupuk sifat-sifat yang menyenangkan hati Tuhan, seperti kasih, sukacita, kedamaian, kebaikan hati, iman, kelemahlembutan, dan kawalan diri.”