7 DISEMBER 2022
RUSIA
Saudara Sergey Polyakov Dibebaskan dari Penjara di Rusia
Pada 30 November 2022, Saudara Sergey Polyakov telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun. Sejak diberkas pada 4 Julai 2018, dia terpaksa ditahan di beberapa tempat. Dia juga telah dikurung seorang diri selama lima bulan.
Sepanjang tempoh 16 bulan, dia telah ditempatkan di penjara koloni di Valday, sebuah bandar yang terletak kira-kira 3,000 kilometer dari rumahnya. Saudara Sergey dikenali sebagai seorang yang sangat beriman. Kakitangan penjara dan banduan lain juga menghormatinya. Semasa dia dipenjarakan, dia menerima banyak galakan daripada surat yang dikirim oleh saudara-mara dan kawan-kawannya. Sering kali, surat-surat yang diterimanya dalam sehari lebih banyak berbanding surat yang diterima oleh 250 banduan lain.
Setelah dibebaskan, Sergey dapat berjumpa semula dengan isterinya Anastasia. Anastasia juga telah dikurung seorang diri di penjara selama lima bulan. Selepas itu, dia disabitkan bersalah kerana melakukan kegiatan agama dan dijatuhkan hukuman penjara tertangguh. Sergey dan Anastasia ialah pasangan suami isteri pertama yang dipenjarakan sejak sekatan Mahkamah Agung pada 2017 yang mengharamkan kegiatan para Saksi.
Kini, lebih daripada 100 orang rakan seiman kita di Rusia dan Crimea telah dipenjarakan. Kita yakin Yehuwa akan menyokong saudara saudari kita yang ‘tabah menanggung kesusahan dan mengalami ketidakadilan kerana ingin mempunyai hati nurani yang bersih di hadapan-Nya.’—1 Petrus 2:19.