Lompat ke kandungan

Dari kiri ke kanan: Saudara Aleksandr Shamov dan isterinya, Nadezhda; Saudara Andrey Shchepin dan isterinya, Ksenia; Saudara Yevgeniy Udintsev dan isterinya, Elizaveta

29 APRIL 2021
RUSIA

Saudara Shamov, Shchepin, dan Udintsev dengan Teguh Menghadapi Tuduhan yang Menguji Iman

Saudara Shamov, Shchepin, dan Udintsev dengan Teguh Menghadapi Tuduhan yang Menguji Iman

TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan

Pada 2 Disember 2021, Mahkamah Wilayah Kirov menolak rayuan Saudara Aleksandr Shamov, Andrey Shchepin, dan Yevgeniy Udintsev. Walaupun mereka tidak perlu dipenjarakan buat masa ini, mereka perlu membayar denda yang dikenakan.

Pada 19 Julai 2021, Mahkamah Daerah Leninskiy di Wilayah Kirov mensabitkan Saudara Shamov, Shchepin, dan Udintsev. Mereka masing-masing dikenakan denda sebanyak 420,000; 500,000; dan 200,000 ruble (RM23,727; RM28,246; dan RM11,297).

Profil

Aleksandr Shamov

  • Tahun Lahir: 1960 (Komarovo, Wilayah Kirov)

  • Biografi: Salah seorang daripada enam anak. Ibu bapa meninggal semasa dia masih kecil. Bekerja di ladang milik keluarga sejak berusia 6 tahun. Lulusan kolej teknikal dan bekerja membaiki televisyen. Berkahwin dengan Nadezhda pada 1986. Mereka mempunyai seorang anak perempuan yang sudah dewasa. Kini menerima bantuan pencen untuk orang kurang upaya setelah diserang sakit jantung dan menjalani pembedahan jantung. Dia dan Nadezhda belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa pada tahun 1990-an. Aleksandr dibaptis pada 2000

Andrey Shchepin

  • Tahun Lahir: 1991 (Korolev, Wilayah Moscow)

  • Biografi: Belajar kebenaran daripada ibu bapanya. Berkahwin dengan Ksenia pada 2015. Bekerja sebagai jurutera awam. Dibaptis pada 2010

Yevgeniy Udintsev

  • Tahun Lahir: 1949 (Kirov)

  • Biografi: Mengalami penyakit jantung semasa kecil tapi sudah sembuh. Pakar dalam bidang kejuruteraan awam dan pertukangan logam. Berkahwin dengan Elizaveta pada 1970. Mereka belajar kebenaran daripada saudara perempuan Elizaveta pada 1991. Yevgeniy mengatasi ketagihan rokok dan alkohol kerana mengasihi Yehuwa. Dibaptis pada 1996

Sejarah Kes

Pada 26 Mac 2019, para pegawai Rusia menyerbu 12 buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa di Kirov. Pihak berkuasa juga menjalankan operasi pengawasan yang ketat atas kegiatan mereka. Selepas itu, pihak pendakwa raya membuat tuduhan terhadap Aleksandr, Andrey, dan Yevgeniy. Andrey ditahan selama dua hari. Pihak pendakwa menganggap mereka sebagai “ekstremis” hanya kerana menjalankan kegiatan ibadat yang biasa. “Jenayah” mereka kononnya ialah membaca Bible dan menyanyikan lagu rohani.

Saudara-saudara ini dengan sepenuh hati bergantung pada Yehuwa, organisasi-Nya, dan Bible untuk tabah mengharungi penganiayaan tersebut. Misalnya, Aleksandr mendapat kekuatan daripada teladan “begitu banyak saksi yang bagaikan awan” yang tertulis di Ibrani bab 12. Dia berkata, “Hamba-hamba Tuhan pada zaman dahulu tahu bahawa orang yang beriman harus berani dan bertabah. Semasa saya rasa tidak sanggup lagi, saya renungkan teladan mereka. Mereka diperlakukan dengan lebih kejam dan tidak adil. Selepas itu, saya terdorong untuk terus ‘berjuang dengan bersungguh-sungguh demi kepercayaan.’”—Yudas 3.

Andrey juga mendapat kekuatan daripada kisah hidup para Saksi yang setia semasa zaman Nazi di Jerman dan Kesatuan Soviet. Dia berkata, “Saya kagum dengan keberanian mereka.” Dia juga amat menghargai bagaimana Yehuwa menjawab doa mereka dan memberkati kesetiaan mereka. Semua ini menggerakkannya untuk berdoa secara spesifik kepada Yehuwa. Dia menjelaskan, “Saya berdoa mohon keberanian. Saya terus-menerus meminta Yehuwa bantu saya berteguh hati. . . . Kita sedar kita hidup pada zaman yang lain daripada yang lain. Jadi, kita mempunyai kesempatan yang istimewa untuk melalui pengalaman yang luar biasa, membantu orang lain, dan yakin pada Yehuwa dengan sepenuhnya.”

Semoga kita berdoa untuk tiga saudara kita serta keluarga mereka. Kita tahu bahawa Yehuwa akan terus melegakan hati mereka dan ‘meneguhkan mereka agar dapat melakukan dan mengatakan apa yang baik.’—2 Tesalonika 2:17.