31 JANUARI 2020
RUSIA
Saudara Stanislav Kim dan Nikolay Polevodov Didakwa di Dua Mahkamah Rusia, Keputusan Pertama Dijangka Akan Diumumkan pada 4 Februari 2020
Mahkamah Zheleznodorozhniy di kota Khabarovsk, Rusia, dijangka akan mengumumkan keputusan berkenaan kes yang melibatkan Saudara Stanislav Kim dan Nikolay Polevodov pada 4 Februari 2020. Pendakwa raya menuntut agar dua saudara itu dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun. Selain itu, kedua-dua saudara itu juga menghadapi tuduhan jenayah di sebuah lagi mahkamah (Industrial District Court) di kota yang sama.
Saudara Kim dan Polevodov ditangkap pada 10 November 2018. Pada masa itu, lebih daripada 50 orang saudara saudari berada di sebuah kafe yang disewa. Mereka berkumpul sekadar untuk bergaul dan bukannya untuk tujuan agama. Tidak lama selepas pertemuan itu bermula, banyak pihak polis dan penyiasat menyerbu kafe tersebut dan menangkap saudara saudari yang berada di situ. Saudara Kim, Saudara Polevodov, dan Saudara Vitaliy Zhuk, ditahan selama lebih daripada dua bulan sebelum kes mereka dibicarakan. Kemudian mereka menjadi tahanan di rumah selama beberapa bulan.
Saudara Kim dan Polevodov didakwa melakukan jenayah kerana menyertai pertemuan tersebut. Keputusan bagi kes mereka itu akan diumumkan pada 4 Februari. Namun, kedua-dua saudara itu, bersama Saudara Zhuk dan tiga saudari yang menghadiri pertemuan itu juga menghadapi tuduhan jenayah yang lain. Dalam kes ini pula, Saudara Kim dan Polevodov dituduh mengaturkan acara itu. Keputusan mahkamah bagi kes ini belum dijadualkan.
Situasi Saudara Kim dan Polevodov memang bukan sesuatu yang biasa kerana mereka menghadapi tuduhan jenayah dalam dua perbicaraan yang berbeza pada masa yang sama. Para penyiasat enggan menggabungkan kedua-dua kes tersebut. Maka Saudara Kim dan Polevodov terpaksa menghadiri dua perbicaraan di dua mahkamah daerah yang berbeza di Khabarovsk.
Kedua-dua saudara ini sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak. Kita yakin bahawa Yehuwa akan membantu saudara-saudara kita dan keluarga mereka. Dia pasti mencurahkan kuasa suci-Nya yang dapat menjaga hati dan fikiran mereka dan membantu mereka tetap setia.—Filipi 4:7.