5 JULAI 2019
RUSIA
Saudara Stupnikov Tidak Lagi Menjadi Tahanan di Rumah
Pada 2 Julai 2019, sebuah mahkamah di Krasnoyarsk, Rusia, telah membuat keputusan untuk membebaskan Saudara Andrey Stupnikov. Dengan demikian, dia tidak lagi menjadi tahanan di rumah. Biarpun begitu, kesnya masih diselidiki oleh pihak berkenaan.
Pada 3 Julai 2018, iaitu semasa Saudara dan Saudari Stupnikov sedang mendaftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Krasnoyarsk pada awal pagi, dua orang ejen Agensi Keselamatan Persekutuan telah menghampiri Saudara Stupnikov lalu menangkapnya. Selepas itu, dia ditahan reman selama lapan bulan. Pada hujung bulan Februari 2019, dia menjadi tahanan di rumahnya sendiri.
Menurut Saudara Stupnikov, selama setahun ini dia lebih memahami diri sendiri dan hubungannya dengan Yehuwa. Dia berkata, “[Olga dan saya] sudah lama menjadi Saksi-Saksi Yehuwa, tetapi sekarang hubungan kami dengan Yehuwa menjadi lebih akrab. Pada saat-saat yang paling mencabar bagi saya, saya dapat merasa bahawa Bapa Yehuwa sentiasa ada di sisi saya dan Dia sentiasa menyokong saya. Saya tidak menyangka bahawa Yehuwa menjadi begitu dekat dengan saya, dan Dia menjawab doa-doa saya dengan cepat!”
Saudara Stupnikov berkata, “Kini, saya lebih yakin bahawa Bapa saya mengetahui dan memahami perasaan saya. Pengalaman peribadi ini membantu saya untuk yakin sepenuhnya kepada Yehuwa dan tidak terlalu risau tentang penganiayaan. Saya jauh lebih takut jika saya kehilangan persahabatan saya dengan Yehuwa daripada takut dianiaya. Saya yakin bahawa jika Yehuwa di sisi kita, kita dapat menghadapi apa sahaja situasi.”
Ada semakin banyak saudara saudari kita di Rusia yang didakwa melakukan jenayah. Pada 1 Julai, jumlahnya mencapai 217 kes. Pihak berkuasa Rusia telah mengurangkan sekatan atas beberapa orang saudara kita. Tetapi, kita beriman dan bergantung pada Yehuwa dan bukannya pada manusia atau pegawai kerajaan. Kita berdoa agar Yehuwa terus menguatkan dan melindungi semua rakan seiman kita di Rusia.—Mazmur 28:7.