4 SEPTEMBER 2019
RUSIA
Saudara Valeriy Moskalenko Dibebaskan dari Penjara
Pada 2 September 2019, Mahkamah Daerah Zheleznodorozhniy di Khabarovsk, Rusia, menjatuhkan hukuman khidmat komuniti terhadap Saudara Valeriy Moskalenko selama dua tahun dan dua bulan. Dia juga diawasi dengan ketat selama tempoh enam bulan. Dengan keputusan ini, Saudara Moskalenko tidak perlu dipenjarakan lagi.
Selepas keputusan diumumkan, Saudara Moskalenko telah dibebaskan. Ahli keluarga dan kawan-kawannya menyambutnya dengan gembira sekali. Dia dipenjarakan sejak 2 Ogos 2018. Sebelum ditahan, dia bekerja sebagai pembantu konduktor kereta api. Pada masa yang sama, dia perlu menjaga ibunya yang sakit. Menurut syarat yang ditetapkan oleh mahkamah, dia tidak dibenarkan keluar dari kawasan Khabarovsk sepanjang tempoh pengawasan. Setiap bulan, dia harus melaporkan diri kepada pihak berkuasa supaya mereka dapat memastikan dia tidak melakukan sebarang jenayah.
Pada 30 Ogos, Saudara Moskalenko telah memberikan ucapan penutupannya di mahkamah. Dalam ucapannya, dia menyatakan, “Saya sama sekali tidak akan menentang kehendak Tuhan yang dinyatakan dengan jelas dalam Bible. Tidak kira apa tekanan dan hukuman yang saya akan hadapi, bahkan jika saya dihukum mati, saya tidak akan meninggalkan Pencipta alam semesta yang maha kuasa, Tuhan Yehuwa.”
Yaroslav Sivulskiy, seorang wakil dari Persatuan Eropah Saksi-Saksi Yehuwa berkata, “Walaupun kami tidak setuju dengan keputusan mahkamah bahawa Valeriy bersalah, kami bersyukur kerana dia dapat pulang ke rumah.”
Selain daripada Saudara Moskalenko, terdapat tujuh saudara lain di Wilayah Khabarovsk yang sedang menunggu keputusan terhadap tuduhan jenayah yang dikenakan.
Kami bersyukur kepada Yehuwa kerana Saudara Moskalenko mengekalkan imannya yang teguh semasa dalam tahanan. Kami berdoa agar Yehuwa terus menguatkan semua saudara saudari yang sedang menghadapi tentangan demi berpegang teguh kepada prinsip Bible.—Yesaya 40:31.