20 MEI 2021
RUSIA
Saudara Vitaliy Popov Menghadapi Penjara kerana Kepercayaannya
TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan Kedua Saudara Vitaliy Popov
Pada 16 Februari 2022, Mahkamah Kasasi Bidang Kuasa Am yang Kelapan menolak rayuan kedua Saudara Vitaliy Popov. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.
Pada 23 Julai 2021, Mahkamah Wilayah Novosibirsk menolak rayuan Vitaliy dan menjunjung keputusan untuk menjatuhkan hukuman penjara tertangguh selama tiga tahun ke atasnya.
Pada 21 Mei 2021, Mahkamah Daerah Leninskiy di Novosibirsk mensabitkan Vitaliy. Dia diberikan hukuman penjara tertangguh selama tiga tahun.
Profil
Vitaliy Popov
Tahun Lahir: 1967 (Novosibirsk)
Biografi: Telah bekerja sebagai juruelektrik dan tukang kimpal. Pernah berkhidmat dalam tentera Soviet. Suka bermain ski, bola sepak, bola tampar, dan menyanyi. Mempunyai empat adik-beradik (dua lelaki dan dua perempuan). Semasa muda, Vitaliy menghadapi kematian abang dan kakaknya yang penuh tragedi. Oleh itu, dia banyak bertanya tentang kematian dan masa depan
Belajar Alkitab dengan Saksi-Saksi Yehuwa pada awal 1990-an. Mendapat jawapan yang memuaskan tentang kenapa manusia mati. Hatinya tersentuh dengan kasih, hormat, dan sokongan yang ditunjukkan para Saksi. Dibaptis pada 1994. Berkahwin dengan Natalya pada 2011
Sejarah Kes
Pada 27 Jun 2019, pihak berkuasa telah membuka kes jenayah terhadap Vitaliy. Pada 9 April 2020, pegawai penguat kuasa telah masuk ke rumah Vitaliy dan membawanya pergi. Dia disoal siasat selama lebih daripada empat jam.
Selepas itu, nama Vitaliy dimasukkan dalam senarai ekstremis. Oleh sebab itu, akaun banknya dibekukan. Dua bulan kemudian, dia juga dipaksa untuk meletakkan jawatan. Semua itu menyebabkan Vitaliy sekeluarga menghadapi masalah kewangan yang serius.
Walaupun begitu, Yehuwa tetap menjaga keperluan Vitaliy dan keluarganya. Vitaliy berkata, “Yehuwa telah memuaskan semua keperluan kami, secara rohani, fizikal, dan emosi. Kami sekeluarga sangat menghargai pertolongan Yehuwa. Sokongan daripada-Nya telah bantu kami mengharungi segala sesuatu dan tetap bersikap positif.”
Vitaliy menjelaskan kunci untuk bertabah semasa dilanda cubaan. Dia berkata, “Melalui rutin rohani saya yang baik, saya dapat menjalin hubungan yang kuat dengan Yehuwa. Sekarang Dia telah menjadi lebih nyata dan saya belajar untuk percaya kepada-Nya dalam apa jua situasi.” Tabiat rohani Vitaliy termasuk penyembahan keluarga, menghadiri dan mengambil bahagian dalam perjumpaan, kerja penyebaran yang tetap, dan berdoa dari hati. Dia menambah, “Jika bukan kerana rutin yang baik, tidak mungkin saya dapat tetap yakin pada Yehuwa dan mengatasi semua cabaran ini.”
Sementara menunggu keputusan kes perbicaraan Vitaliy, kita tetap berdoa untuknya. Kita pasti bahawa Yehuwa, yang ‘memberikan kuasa kepada kita,’ akan terus menguatkan saudara saudari kita di Rusia. Dengan itu, mereka dapat menghadapi penganiayaan dengan tabah dan berani.—Filipi 4:13.