Lompat ke kandungan

Saudara Yevgeniy Golik di luar mahkamah pada Disember 2020

21 JANUARI 2021
RUSIA

Saudara Yevgeniy Golik Dijatuhkan Hukuman Penjara Tertangguh

Saudara Yevgeniy Golik Dijatuhkan Hukuman Penjara Tertangguh

Keputusan Mahkamah

Pada 20 Januari 2021, Mahkamah Daerah Birobidzhan di Wilayah Autonomi Yahudi mensabitkan Saudara Yevgeniy Golik. Dia dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama dua tahun setengah. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini. Dia akan membuat rayuan atas keputusan itu.

Profil

Yevgeniy Golik

  • Tahun Lahir: 1975 (Birobidzhan, Wilayah Autonomi Yahudi)

  • Biografi: Dia belajar kemahiran mengimpal. Bekerja sebagai operator boiler. Pernah berkhidmat sebagai tentera Rusia sebelum menjadi Saksi Yehuwa

    Belajar kebenaran daripada ibunya. Mendapat jawapan tentang tujuan hidup menerusi ajaran Bible. Kebenaran Bible juga membantunya mengambil berat tentang orang lain

Sejarah Kes

Pada awal pagi, 17 Mei 2018, 150 pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) menyerbu 22 buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa di Birobidzhan, sebuah bandar di bahagian timur Rusia. Operasi FSB itu diberi nama kod “Hari Penghakiman.” Pihak berkuasa tempatan membuka kes jenayah terhadap Saudara Yevgeniy Golik dan 21 saudara saudari dari Wilayah Autonomi Yahudi. Perbicaraan Yevgeniy bermula pada 29 Januari 2020.

Pihak pendakwa mengemukakan bukti termasuk rakaman video pengawasan yang menunjukkan Yevgeniy sedang belajar Bible dan beberapa bahan bacaan Bible.

Memang tidak mudah menjadi mangsa ketidakadilan. Tetapi Yevgeniy berkata, “Menerusi pembelajaran Bible dan berdoa secara tetap, saya dibantu untuk fokus kepada Yehuwa dan bukan masalah sendiri. Tidak lupa juga kata-kata galakan daripada Firman Tuhan membawa sukacita dan mendorong saya untuk mengongsinya dengan orang lain.”

Dia mendapat manfaat dengan merenungkan Mazmur 23:4. Yevgeniy berkata, “[Ayat itu] membantu saya berani dan tabah menghadapi cabaran dengan sukacita. Biarpun maut mengancam kita, yakinlah Yehuwa sentiasa di samping kita.”

Rakan-rakan seiman Yevgeniy turut menyokongnya. Dia berkata, “Saudara saudari datang ke mahkamah semasa kes perbicaraan bermula. Kehadiran mereka benar-benar menggalakkan saya. Juga, pada masa yang susah itu, isteri saya yang merupakan anugerah daripada Yehuwa, telah banyak membantu saya. Saya selalu bersukacita kerana saya ada Firman Tuhan, makanan yang mencukupi, dan sokongan yang tidak terkira.”

Yevgeniy bertekad untuk mengekalkan hubungan rapat dengan Yehuwa. Untuk bantu mereka yang belum ditentang dalam cara ini, dia menasihati: “Belajarlah lagu [teokratik], latih hati anda untuk mengasihi musuh, dan latih diri untuk menjadi umat Tuhan yang bersukacita dalam apa jua situasi.”

Semoga kita belajar daripada pengalaman saudara saudari di Rusia. Sebagaimana Yehuwa menguatkan mereka semasa menghadapi pelbagai cabaran, Dia pasti akan menguatkan kita.—Mazmur 29:11.