17 MEI 2021
RUSIA
Saudara Yevgeniy Yakku Bergantung pada Kebijaksanaan Yehuwa semasa Perbicaraan
TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan
Pada 1 Oktober 2021, Mahkamah Wilayah Arkhangelsk menolak rayuan Saudara Yakku. Keputusan mahkamah rendah masih berkuat kuasa.
Pada 19 Julai 2021, Mahkamah Daerah Solombalskiy di Arkhangelsk mensabitkan Saudara Yevgeniy Yakku. Dia dikenakan denda sebanyak 880,000 ruble (RM49,819). Dia tidak perlu dipenjarakan.
Profil
Yevgeniy Yakku
Tahun Lahir: 1980 (Kampung Sosnovets, Republik Karelia)
Biografi: Semasa remaja, kagum melihat nubuat Bible menjadi kenyataan. Dibaptis sebagai Saksi Yehuwa pada 2006. Berpindah ke Arkhangelsk untuk belajar di sekolah perniagaan. Berkahwin dengan Irina pada 2007. Mereka suka melancong dan melakukan aktiviti di luar rumah
Sejarah Kes
Pada pagi 18 Februari 2019, pihak berkuasa Rusia menyerbu rumah Saudara Yevgeniy Yakku dan menangkapnya kerana terlibat dengan aktiviti yang mereka anggap sebagai “ekstremis.” Polis tempatan membawa Yevgeniy ke penjara. Dia ditahan selama dua hari. Pihak berkuasa tidak memberitahu keluarga dan kawan Yevgeniy di mana dia berada.
Selepas dibebaskan, Yevgeniy dilarang keluar dari rumah pada waktu malam, mengadakan apa-apa pertemuan di rumah, atau menghubungi orang lain yang terlibat dalam kes itu, tidak kira melalui telefon, e-mel, atau Internet. Sekitar tujuh bulan kemudian, mahkamah melonggarkan sekatan dan membenarkan Yevgeniy keluar dari rumah pada waktu petang.
Pada 25 November 2019, Yevgeniy dituduh mengatur kegiatan organisasi yang “ekstremis.” Kemudian, lebih banyak tuduhan dikenakan ke atasnya. Jika disabitkan bersalah, dia mungkin dipenjarakan sehingga 15 tahun. Tuduhan sedemikian menyebabkan Yevgeniy dibuang kerja, akaun banknya dibekukan, dan dua buah keretanya disita.
Ketika mengharungi detik yang mencabar itu, Yevgeniy dan Irina telah menguatkan keyakinan mereka terhadap Yehuwa. Irina berkata, “Semasa saya lihat bagaimana Yehuwa jawab doa saya dengan spesifik serta jaga saya dan Zhenya [Yevgeniy], saya begitu bersyukur sehingga tiada kata-kata yang dapat mengungkapkan perasaan saya.”
Misalnya, Irina berdoa secara spesifik kepada Yehuwa agar memberi suaminya hati yang tenang supaya dapat menjelaskan kepercayaannya dengan baik semasa perbicaraan. Yevgeniy juga berdoa untuk hal yang sama. Dia menjelaskan, “Setiap kali apabila saya dihadapkan ke jawatankuasa penyiasatan atau mahkamah, saya mohon agar Yehuwa beri saya kebijaksanaan.” Yevgeniy rasa Yehuwa menjawab doanya. Dia menyambung, “Saya akan cakap apa yang saya perlu dan elak daripada cakap terlalu banyak.” Dia menambah, “Yehuwa buktikan kepada saya bahawa Dia tidak meninggalkan saya dan Dia jawab doa saya dalam cara yang nyata. Sekarang, saya dapat rasa bantuan Yehuwa dengan lebih jelas dalam hidup saya.”
Sementara menunggu keputusan mahkamah, kita tahu Yehuwa akan terus memberi Yevgeniy keberanian untuk mempertahankan kepercayaannya dengan “lemah lembut dan hormat yang mendalam.”—1 Petrus 3:15.