21 MEI 2021
RUSIA
Saudara dan Saudari Krutyakov, serta Saudara Nikiforov dan Saudara Zherebtsov Percaya kepada Yehuwa walaupun Dianiaya
TERKINI | Mahkamah Kasasi Rusia Menolak Rayuan Kedua Mereka
Pada 13 Januari 2022, Mahkamah Kasasi Bidang Kuasa Am yang Pertama menolak rayuan kedua Saudara Yuriy Krutyakov dan isterinya, Zinaida; serta Saudara Vitaliy Nikiforov dan Saudara Konstantin Zherebtsov. Mereka tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.
Pada 20 Julai 2021, Mahkamah Wilayah Moscow memutuskan untuk mengekalkan hukuman yang sama terhadap Yuriy, Zinaida, Vitaliy, dan Konstantin.
Pada 24 Mei 2021, Mahkamah Bandar Chekhov di Wilayah Moscow mensabitkan Yuriy, Zinaida, Vitaliy, dan Konstantin. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tertangguh selama enam tahun atas Yuriy. Zinaida, Vitaliy, dan Konstantin pula menerima hukuman penjara tertangguh selama dua tahun.
Profil
Yuriy Krutyakov
Tahun Lahir: 1952 (Nizhny Novgorod)
Biografi: Pernah bekerja sebagai penyelia dan pelukis pelan, dan kini sebagai jurutera awam dan perindustrian. Mencari makna dan tujuan hidup selama bertahun-tahun. Akhirnya menemui jawapannya setelah belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dibaptis pada 1998
Berkahwin dengan Zinaida pada 2012. Mereka suka memasak dan mendengar muzik
Zinaida Krutyakova
Tahun Lahir: 1958 (Nizhnedevitsk)
Biografi: Membesarkan anak perempuannya sebagai ibu tunggal. Bekerja sebagai jurutera pemprosesan, khususnya bahan tahan panas dan seramik. Kini sudah bersara
Tertanya-tanya mengapa banyak ketidakadilan di dunia. Mendapat jawapan yang memuaskan setelah belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Kemudian berkahwin dengan Yuriy pada 2012
Vitaliy Nikiforov
Tahun Lahir: 1968 (Nevel, Wilayah Pskov)
Biografi: Semasa kecil, dia pandai dalam Matematik dan suka bersukan. Pernah bekerja sebagai juruteknik pesawat dalam Tentera Udara Rusia
Mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa pada 2005. Bersara daripada khidmat tentera pada 2007. Dibaptis pada 2012
Konstantin Zherebtsov
Tahun Lahir: 1973 (Turkmenistan)
Biografi: Semasa muda, gemar mengumpul setem dan mengangkat berat. Graduan sekolah teknik dan kemudian bekerja sebagai juruelektrik. Sejak 2003, bekerja di kilang pembuatan mesin yang membekalkan stesen kuasa nuklear
Berkahwin dengan Natalya pada 1994. Mereka sama-sama belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dibaptis pada 2016
Sejarah Kes
Pada 30 September 2019, Jawatankuasa Penyiasatan Rusia di wilayah Moscow membuka kes jenayah terhadap Saudara Vitaliy Nikiforov, Saudara Konstantin Zherebtsov, dan Saudara Yuriy Krutyakov bersama isterinya, Saudari Zinaida Krutyakova. Dua hari selepas itu, rumah mereka dibongkar.
Vitaliy, Konstantin, dan Zinaida disoal siasat selama berjam-jam dan ditahan semalaman. Kemudian mereka ditahan di rumah.
Pada 5 Mac 2020, Yuriy dihantar ke pusat tahanan sebelum perbicaraan. Sejak itu, dia dipindahkan ke tiga tempat tahanan yang berlainan. Sehingga kini, dia masih lagi ditahan.
Konstantin menjelaskan bahawa doa sangat penting semasa menghadapi cubaan. Pada malam serbuan berlaku, dia memohon Yehuwa untuk bantunya menangani keadaan yang stres itu. Dia berkata, “Saya sekeluarga bersikap tenang dan hormat kepada pihak berkuasa. Dengan itu, kami dapat beri kesaksian yang baik dan membuktikan bahawa umat Tuhan bersifat damai dan mematuhi undang-undang.”
Konstantin menambah lagi, “Apabila berdepan dengan cabaran, ayat di Zakharia 2:8 telah menggalakkan dan menguatkan saya. Ayat itu mengingatkan saya bahawa Yehuwa prihatin dan menghargai saya. Ayat itu juga meyakinkan saya bahawa Yehuwa pasti melindungi saya seperti biji mata-Nya sendiri.”
Kita yakin Yehuwa akan memelihara saudari dan tiga saudara kita ini kerana mereka menyerahkan beban mereka kepada-Nya.—Mazmur 55:22.