Lompat ke kandungan

Saudari Anastasiya Guzeva bersama suaminya, Konstantin

2 APRIL 2021
RUSIA

Saudari Anastasiya Guzeva Menghadapi Ancaman Penjara kerana Imannya

Saudari Anastasiya Guzeva Menghadapi Ancaman Penjara kerana Imannya

TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan Saudari Guzeva

Pada 2 Disember 2021, Mahkamah di Wilayah Autonomi Yahudi menolak rayuan Saudari Anastasiya Guzeva. Hukuman asalnya masih berkuat kuasa. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.

Pada 19 Ogos 2021, Mahkamah Daerah Birobidzhan di Wilayah Autonomi Yahudi mensabitkan Saudari Guzeva dan mengenakan hukuman penjara tertangguh selama 30 bulan.

Profil

Anastasiya Guzeva

  • Tahun Lahir: 1979 (Birobidzhan)

  • Biografi: Dia dan dua adik-beradik lelaki dibesarkan oleh ibu tunggalnya. Semasa kecil, suka membaca, bersukan, dan tarian ballroom. Ketika berumur sepuluh tahun, menemui sebuah Bible di rumah neneknya. Sejak itu, dia mula mengetahui lebih banyak tentang Tuhan. Kemudian, dia dan ibunya belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka dibaptis pada 1995. Anastasiya berkahwin dengan Konstantin pada 2001

Sejarah Kes

Pada Mei 2018, pihak berkuasa Rusia menyerbu rumah Anastasiya dan Konstantin. Pada Julai 2019, pihak berkuasa menuduh Konstantin sebagai “ekstremis.” Begitu juga dengan Anastasiya pada Februari 2020. Sejumlah 19 kes telah difailkan ke atas 23 Saksi-Saksi Yehuwa di Wilayah Autonomi Yahudi.

Kehidupan seharian Anastasiya dan Konstantin menjadi semakin susah kerana proses siasatan ini. Mereka dipaksa berhenti kerja di sekolah muzik kerana digelar sebagai “ekstremis.” Pada Februari 2021, Konstantin dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama dua tahun setengah.

Anastasiya menjelaskan apa yang membantunya untuk bertabah. Dia berkata, “Lebih baik kita fikir kita akan dianiaya. Dengan itu, kita boleh berlatih apa yang akan kita lakukan dalam situasi yang sukar. Contohnya, semasa membaca peristiwa-peristiwa pada hari terakhir kehidupan Yesus di bumi, kita boleh lihat Yesus sudah memikirkan terlebih dahulu apa yang akan dia lakukan semasa ditangkap, . . . bila dia akan bercakap, bila dia akan tetap berdiam diri, dan apa yang akan dia katakan jika dia perlu bercakap.”

Anastasiya menerangkan bahawa sekarang, kata-kata di Roma 8:38, 39 membawa makna yang istimewa baginya. Dia menjelaskan, “Kata-kata ini memberi saya sebab untuk bersukacita. Yehuwa dan Yesus paling berkuasa di seluruh alam semesta. Mereka menyayangi saya. Tiada sesiapa pun yang dapat menghalang kasih itu. Kebenaran ini menguatkan saya untuk terus bertabah dan berani.”