Lompat ke kandungan

Saudari Irina Lokhvitskaya

29 MAC 2021
RUSIA

Saudari Irina Lokhvitskaya Tetap Teguh Menghadapi Tuduhan Jenayah

Saudari Irina Lokhvitskaya Tetap Teguh Menghadapi Tuduhan Jenayah

TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan

Pada 16 November 2021, Mahkamah di Wilayah Autonomi Yahudi menolak rayuan Saudari Irina Lokhvitskaya. Hukuman asalnya masih berkuat kuasa. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.

Pada 19 Julai 2021, Mahkamah Daerah Birobidzhan di Wilayah Autonomi Yahudi mensabitkan Saudari Irina Lokhvitskaya dan mengenakan hukuman penjara tertangguh selama dua tahun setengah.

Profil

Irina Lokhvitskaya

  • Tahun Lahir: 1962 (Izvestkovoye)

  • Biografi: Ayahnya meninggal semasa Irina berumur enam tahun. Semasa kecil, dia bergiat dalam bidang teater, menari, mengait, bermain bola keranjang dan bola tampar

    Harapan pembangkitan menyentuh hatinya. Dibaptis sebagai seorang Saksi Yehuwa pada 1993. Suaminya meninggal tujuh bulan selepas pembaptisannya. Dia sendiri perlu membesarkan anak lelakinya, Artur, yang berumur tujuh tahun

Sejarah Kes

Pada 6 Februari 2020, Saudari Irina Lokhvitskaya merupakan salah seorang daripada enam saudari yang didakwa oleh pihak berkuasa Rusia di Birobidzhan kerana melakukan apa yang mereka anggap sebagai aktiviti “ekstremis.” Sejumlah 19 kes telah difailkan ke atas 22 Saksi-Saksi Yehuwa di wilayah tersebut, termasuk anak lelaki Irina, iaitu Artur, dan isterinya, Anna.

Perbicaraan kes Irina diadakan secara tertutup sehingga keluarga Irina mahupun wartawan tidak boleh hadir. Rayuan untuk membenarkan perbicaraan mahkamah terbuka dan mengembalikan kes Irina kepada pihak pendakwa juga ditolak.

Kesihatan fizikal dan emosi Irina terjejas kerana penyiasatan dan perbicaraan yang berterusan. Tapi, rutin rohani telah membantunya bertabah. Dia menjelaskan, “Yehuwa menolong saya untuk mempunyai tabiat yang baik. Saya bukan saja baca Bible tapi saya kaji lebih mendalam untuk memahami isinya.” Ketika kekhuatiran membelenggu Irina sehingga menjejaskan rutin rohaninya, Irina mengambil langkah positif. Katanya, “Saya berdoa dengan bersungguh-sungguh dan berusaha untuk kembali ke rutin saya. Yehuwa mengajar saya untuk lebih memikirkan orang lain daripada diri sendiri.”

Irina mula memikirkan mereka yang lebih memerlukan sokongan dan galakan, termasuk saudara saudari dan orang yang berminat. Dia menjelaskan, “Semasa kita fikir tentang orang lain, kita tidak ada masa untuk mengasihani diri atau khuatir berlebihan.”

Irina juga dikuatkan oleh saudara saudari di sidang, terutamanya para penatua. Dia menambah, “Meskipun penatua sendiri dianiaya, mereka melegakan hati saya dan selalu mengungkapkan kata-kata yang menguatkan saya. Mereka juga sudi membantu setiap kali saya memerlukan mereka. Saya amat berterima kasih kepada mereka.”

Irina yakin bahawa Yehuwa akan menyediakan segala yang diperlukannya untuk tabah mengharungi penganiayaan ini. Kita juga memiliki keyakinan yang sama. Dia berkata, “Dulu, semasa saya baca tentang penganiayaan, saya selalu fikir bagaimana reaksi saya jika saya yang mengalaminya. Adakah saya akan bergantung pada Yehuwa? Sekarang, saya tahu jawapannya. Dengan bantuan Yehuwa, saya pasti akan bergantung pada-Nya. Sama seperti semua penyembah Yehuwa yang setia, saya akan berdiri teguh, dan Yehuwa akan memegang tangan kanan saya.”—Yesaya 41:10.