Lompat ke kandungan

Saudari Larisa Artamonova

15 FEBRUARI 2021
RUSIA

Saudari Larisa Artamonova Disabitkan Bersalah kerana Imannya

Saudari Larisa Artamonova Disabitkan Bersalah kerana Imannya

Keputusan Mahkamah

Pada 12 Februari 2021, Mahkamah Daerah Birobidzhan di Wilayah Autonomi Yahudi mengumumkan keputusannya dalam kes yang melibatkan Saudari Larisa Artamonova. Meskipun dia boleh dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun, mahkamah memutuskan untuk mengenakan denda sebanyak 10,000 ruble (RM549).

Profil

Larisa Artamonova

  • Tahun Lahir: 1970 (Birobidzhan, Wilayah Autonomi Yahudi)

  • Biografi: Semasa berumur tiga tahun, bapanya mati dibunuh. Larisa pernah bekerja sebagai jurumasak pastri, pereka grafik, dan tukang jahit. Berkahwin pada 1990 dan mempunyai seorang anak lelaki, Yevgeniy, yang mengidap sejenis penyakit yang jarang dijumpai. Larisa pula mengidap penyakit autoimun yang menyerang sendi-sendinya. Menjalani gaya hidup aktif walaupun menghadapi masalah kesihatan. Suka bermain ski, meluncur, berbasikal, dan melukis potret

    Belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa kerana mempunyai pertanyaan tentang ketidakadilan, penderitaan, dan kejahatan. Memahami jawapan yang memuaskan dalam Bible dan dibaptis pada 1995

Sejarah Kes

Pada 25 September 2019, pihak berkuasa membuka kes jenayah terhadap Saudari Larisa Artamonova. Anak lelakinya pula menghadapi kes jenayah yang berasingan. Mereka berdua adalah antara 22 Saksi-Saksi Yehuwa dari Wilayah Autonomi Yahudi yang didakwa melibatkan diri dalam aktiviti organisasi “ekstremis.”

Orang yang membunuh bapa kandung Larisa telah dihukum penjara selama enam tahun. Maka, ibu dan bapa tirinya sangat terkejut kerana Larisa hampir dikenakan hukuman penjara yang sama hanya kerana kepercayaan agamanya.

Tidak lama sebelum penganiayaan berlaku di Birobidzhan, Larisa dan anaknya telah meningkatkan lagi khidmat mereka kepada Yehuwa. Larisa berkata, “Sibuk dalam khidmat Yehuwa serta menguatkan kerohanian diri dan keluarga dapat bantu kita agar tidak dicengkam rasa takut.” Dia menambah, “Syaitan cuba guna penentang untuk buat kita fikir bahawa melakukan aktiviti rohani akan menyebabkan kita hilang kebebasan. Sebaliknya, Yehuwa meyakinkan kita bahawa dengan melakukan apa yang diajarkan-Nya, itulah yang membawa kebebasan sejati.”

Kesemua 22 saudara saudari dari Birobidzhan yang telah didakwa, yakin bahawa kesetiaan mereka menyenangkan hati Yehuwa dan memberi-Nya jawapan kepada celaan Syaitan.—Amsal 27:11.