Lompat ke kandungan

Saudari Nataliya Kriger bersama suaminya, Valeriy

25 FEBRUARI 2021
RUSIA

Saudari Nataliya Kriger Mungkin Dijatuhkan Hukuman Berikutan Serbuan “Hari Penghakiman”

Saudari Nataliya Kriger Mungkin Dijatuhkan Hukuman Berikutan Serbuan “Hari Penghakiman”

TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan Saudari Nataliya Kriger

Pada 25 November 2021, Mahkamah di Wilayah Autonomi Yahudi menolak rayuan Saudari Nataliya Kriger. Hukuman asalnya masih berkuat kuasa. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.

Pada 30 Julai 2021, Mahkamah Daerah Birobidzhan di Wilayah Autonomi Yahudi mensabitkan Saudari Nataliya Kriger. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara tertangguh selama dua tahun dan enam bulan ke atasnya.

Profil

Nataliya Kriger

  • Tahun Lahir: 1978 (Khabarovsk)

  • Biografi: Ibunya meninggal semasa Nataliya masih bayi. Tinggal di rumah anak yatim. Semasa berumur enam tahun, berpindah sejauh 400 kilometer ke Amurzet, Rusia. Tinggal bersama nenek, mak cik, dan sepupu yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa. Dia ialah pekerja sosial yang menjaga orang tua

  • Dibaptis sebagai salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa pada 1999. Berkahwin dengan suaminya, Valeriy, pada 2017. Mereka minat menari, berakit, dan mengembara

Sejarah Kes

Pihak berkuasa Rusia menyerbu rumah Kriger pada Mei 2018. Serbuan tersebut merupakan sebahagian daripada operasi kerajaan yang dikenali sebagai “Hari Penghakiman.” Selepas itu, pihak pendakwa tempatan membuka kes jenayah terhadap Valeriy. Pada 6 Februari 2020, pihak berkuasa juga membuka kes jenayah terhadap Nataliya. Dia merupakan salah seorang daripada enam orang saudari yang didakwa pada hari itu.

Selain menghadapi tuduhan jenayah, Nataliya sedang bersedih kerana kematian neneknya, yang meninggal pada Februari 2020. Dia telah menjaga neneknya selama enam tahun.

Hubungan rapat Nataliya dengan Yehuwa membantunya tabah menghadapi segala cabaran tersebut. Dia menjelaskan, “Berdoa untuk orang lain membantu saya tidak bertumpu pada masalah sendiri. Yehuwa menjadi lebih dekat dan lebih nyata bagi saya kerana penganiayaan ini. Saya merasai bagaimana Yehuwa menjawab doa saya dan menyokong saya.”

Nataliya sering mengingat kembali mengapa dia yakin Yehuwa akan terus menyokongnya. Dia berkata, “Saya benar-benar mendapat kekuatan daripada ayat di Mazmur 94:19, yang berbunyi, ‘Engkau menenangkan dan melegakan jiwaku.’ Terdapat banyak contoh dalam Bible dan zaman moden yang menunjukkan hamba Tuhan yang berani dan tabah mengharungi segala macam cubaan. Dengan merenungkan contoh sedemikian, saya mendapat kekuatan tambahan.”