Lompat ke kandungan

Saudari Tatyana Zagulina bersama suaminya, Dmitriy

17 MAC 2021
RUSIA

Saudari Tatyana Zagulina Dituduh Melakukan Jenayah di Birobidzhan

Saudari Tatyana Zagulina Dituduh Melakukan Jenayah di Birobidzhan

TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan

Pada 16 September 2021, Mahkamah Wilayah Autonomi Yahudi menolak rayuan Saudari Zagulina. Hukuman asalnya masih berkuat kuasa. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.

Pada 31 Mac 2021, Mahkamah Daerah Birobidzhan di Wilayah Autonomi Yahudi mensabitkan Saudari Tatyana Zagulina. Dia dijatuhkan hukuman penjara tertangguh dua tahun dan enam bulan.

Profil

Tatyana Zagulina

  • Tahun Lahir: 1984 (Kampung Selektsionnaya, Kawasan Trans-Baikal)

  • Biografi: Pernah belajar reka cipta fesyen. Pernah bekerja sebagai jururias tangan dan kuku, dan juga tukang jahit, terutamanya mengubah suai baju pengantin. Gemar main bola tampar dan ping pong, menari, dan mengait

    Menyukai alam semula jadi sejak dulu dan percaya bahawa Pencipta wujud. Hal ini mendorongnya untuk belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dibaptis pada 2010. Berkahwin dengan Dmitriy pada 2012

Sejarah Kes

Pada 17 Mei 2018, 150 pegawai penguat kuasa menyerbu 22 buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa. Serbuan tersebut merupakan operasi yang diberi nama kod “Hari Penghakiman.” Sejak hari itu, pejabat penyiasat tempatan memulakan tuduhan jenayah terhadap 22 saudara saudari di wilayah itu. Pada 6 Februari 2020, Tatyana dan lima saudari lain didakwa kerana melakukan apa yang dianggap sebagai kegiatan “ekstremis.”

Kes mahkamah Tatyana bermula pada 17 September 2020. Sementara menunggu keputusan, pihak berkuasa mengenakan sekatan perjalanan dan membeku akaun banknya.

Tatyana menyatakan bahawa doa dan rutin rohani yang baik membantunya tabah menghadapi semua ini dan terus menginjil serta mempertahankan imannya. Dia berkata, “Semasa [pegawai penguat kuasa] datang, mereka ketuk pintu rumah saya dengan kuat. Saya takut sekali, tapi saya terus berdoa. Setelah itu, saya rasa lebih tenang.”

Semasa rumahnya digeledah, Tatyana memberitahu salah seorang pegawai bahawa imannya semakin kuat pada hari itu. Pegawai tersebut bertanya sebabnya dan Tatyana menjawab bahawa dia merasai kata-kata Yesus di Yohanes 15:20 sedang menjadi kenyataan baginya. Ayat itu berbunyi, “Tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya. . . . Jika mereka telah menganiaya aku, mereka akan menganiaya kamu juga.” Tatyana menyambung, “Salah seorang pegawai menjawab, ‘Kalau kamu cakap begitu, saya rasa seperti salah seorang yang memaku Yesus.’ Pada saat itu, bukan sahaja iman saya diteguhkan malahan hati saya rasa damai dan sukacita. Saya rasa Yehuwa di samping saya!” Pada permulaan perbicaraan mahkamah, Tatyana berasa takut, tapi setelah berdoa meminta keberanian, dia berkata, “Saya sekarang boleh bercakap dengan yakin.”

Kita bersyukur kerana Yehuwa menyokong dan memberkati saudara saudari kita di Rusia, yang melakukan ‘perbuatan yang didorong oleh iman, kasih, dan ketabahan.’—1 Tesalonika 1:2, 3.