8 APRIL 2021
RUSIA
Saudari Yekaterina Pegasheva Tetap Setia walaupun Menghadapi Tuduhan Jenayah di Rusia
TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan Saudari Yekaterina Pegasheva
Pada 4 Ogos 2021, Mahkamah Agung Republik Mari El menolak rayuan Saudari Yekaterina Pegasheva dan menjunjung keputusan untuk menjatuhkan hukuman penjara tertangguh selama enam tahun setengah ke atasnya. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.
Pada 31 Mei 2021, Mahkamah Daerah Gornomariyskiy di Republik Mari El mensabitkan Saudari Yekaterina Pegasheva. Dia diberikan hukuman penjara tertangguh selama enam tahun dan enam bulan.
Profil
Yekaterina Pegasheva
Tahun Lahir: 1989 (Gaintsy, Wilayah Kirov)
Biografi: Dia tidak mempunyai adik-beradik. Minat membaca buku, menulis puisi, dan menyanyi lagu. Bekerja sebagai pembantu rumah. Belajar bahasa Mari supaya dapat menginjil kepada lebih ramai orang
Sejarah Kes
Pada 3 Oktober 2019, Saudari Pegasheva ditahan di Yoshkar-Ola, ibu kota Republik Mari El. Pegawai penguat kuasa menyelongkar rumahnya dan merampas buku, alat elektronik, surat peribadi, dan dokumen lain. Yekaterina dituduh mengambil bahagian dalam kegiatan organisasi yang diharamkan kerana dia berbincang Bible dengan rakan seiman.
Yekaterina mengenang kembali, “Ketika itu, para pegawai tiba-tiba menyerang saya di jalan raya. Mereka memulas lengan saya ke belakang dan menghimpitkan badan saya pada pokok. Seperti Nehemia, saya cepat-cepat berdoa untuk memohon bantuan Yehuwa.” Selepas Yekaterina ditangkap, dia berada dalam tahanan sebelum perbicaraan lebih daripada 100 hari. Kini, dia ditahan di rumah.
Yekaterina disoal siasat berkali-kali semasa berada dalam tahanan sebelum perbicaraan. Dia rasa bahawa pendidikan yang berdasarkan Bible telah membantunya. Dia berkata, “Saya ingat ceramah yang saya dengar dan tugasan yang saya terima semasa menghadiri Sekolah Latihan Penginjil. Terutamanya, ada satu poin yang menguatkan saya, iaitu semasa saya menjawab musuh yang menyoal siasat, saya juga sedang menghadap Tuan Yesus. Ini membantu saya mengawal diri dan menghormati pihak berkuasa yang menuduh saya dengan tidak adil.”
Memang tidak mudah bagi Yekaterina untuk tetap berada dalam tahanan sebelum perbicaraan dan tahanan rumah selama lebih daripada setahun. Kesihatannya terjejas, dan hal ini menghalangnya daripada bekerja untuk menyara hidup. Tambahan pula, keadaan menjadi lebih susah kerana dia terpisah daripada ibu dan neneknya. Biarpun menghadapi semua rintangan ini, Yekaterina bertekad untuk tetap setia kepada Yehuwa. Dia menambah, “Semakin mereka memberi saya tekanan, semakin kuat keinginan saya untuk memakai perlengkapan perang rohani daripada Tuhan.” Dia menyambung, “Kini, saya tidak takut apa-apa pun! Sebelum ini, saya berani, tapi sekarang dengan bantuan kuasa suci Tuhan, saya lebih berani.”
Sambil Yekaterina menantikan keputusan mahkamah, kita yakin bahawa dia akan terus bergantung pada Yehuwa, yang menguatkan semua penyembah-Nya.—Keluaran 15:2.