Lompat ke kandungan

Saudari Yelena Barmakina dan suaminya Dmitriy

28 SEPTEMBER 2020
RUSIA

Saudari Yelena Barmakina Menghadapi Tuduhan Jenayah kerana Berdoa dan Membaca Bible

Saudari Yelena Barmakina Menghadapi Tuduhan Jenayah kerana Berdoa dan Membaca Bible

Keputusan Mahkamah

Pada 29 September 2020, a Mahkamah Daerah Pervorechenskiy di Vladivostok dijadualkan untuk mengumumkan keputusan kes Saudari Yelena Barmakina. Jika dia didapati bersalah, dia akan dijatuhkan hukuman penjara tertangguh tiga tahun. Seraya Saudari Barmakina menantikan keputusan itu, perbicaraan kes suaminya Dmitriy terus dijalankan secara berasingan.

Profil

Yelena Barmakina

  • Tahun Lahir: 1967 (Cherepanovo, Kawasan Novosibirsk)

  • Biografi: Penjaga utama kepada ibu bapa dan neneknya yang tua. Suka fotografi dan bekerja sebagai jurugambar profesional. Suka berenang dan mengembara

  • Semasa dia mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, dia yakin bahawa nubuat yang telah menjadi kenyataan membuktikan kuasa Tuhan. Imannya bertambah kuat seraya dia melihat Yehuwa menjawab doanya. Berkahwin dengan suaminya Dmitriy pada tahun 2006

Sejarah Kes

Pada 28 Julai 2018, jam 7:00 pagi, sekumpulan polis yang bertopeng dan bersenjata menyerbu rumah nenek Saudari Yelena Barmakina. Saudari Barmakina dan suaminya Dmitriy tinggal di situ kerana mereka sedang menjaga nenek Saudari Barmakina yang berusia 90 tahun. Saudara Barmakin telah ditahan dan dipenjarakan sebelum perbicaraan. Pihak berkuasa mengugut Saudari Barmakina, dengan berkata, “Kamulah yang seterusnya!”

Setahun kemudian, pihak berkuasa membekukan akaun bank Saudari Barmakina. Pada 6 Ogos 2019, seorang penyiasat tempatan membuat tuduhan jenayah terhadap Saudari Barmakina kerana dia berdoa, membaca Bible, dan menonton ceramah Bible. Peguamnya meminta mahkamah untuk membatalkan tuduhan itu kerana berdoa dan membaca Bible ialah perkara biasa yang dilakukan oleh orang yang beragama. Tetapi hakim menyokong pihak pendakwa dan bersetuju bahawa perbuatan Saudari Barmakina ialah “kegiatan ekstremis” yang diharamkan oleh undang-undang Rusia.

Saudari Barmakina mengalami tekanan emosi dan fizikal kerana siasatan jenayah ini. Dia terpisah daripada suaminya selama 447 hari sewaktu suaminya ditahan reman. Saudari Barmakina juga susah mencari kerja kerana dia perlu hadir untuk perbicaraan atau soal siasat jika dia dipanggil.

Daripada pembelajaran Bible kita, kita tidak hairan bahawa pihak berkuasa Rusia telah ‘menolak saudara saudari kita dengan kuat’ untuk mematahkan kesetiaan mereka. Biarpun begitu, kita berasa lega kerana Yehuwa akan terus menjadi sumber ‘kekuatan dan tempat perlindungan mereka.’—Mazmur 118:13, 14.

a Mungkin berubah