Lompat ke kandungan

Saudari Yuliya Kaganovich

11 FEBRUARI 2021
RUSIA

Saudari Yuliya Kaganovich Tabah Menghadapi Penganiayaan kerana Membuat Persediaan

Saudari Yuliya Kaganovich Tabah Menghadapi Penganiayaan kerana Membuat Persediaan

Keputusan Mahkamah

Pada 18 Februari 2021, a Mahkamah Daerah Birobidzhan di Wilayah Autonomi Yahudi dijadualkan untuk mengumumkan keputusan bagi kes yang melibatkan Saudari Yuliya Kaganovich. Pihak pendakwa belum mencadangkan hukuman yang mungkin dikenakan.

Profil

Yuliya Kaganovich

  • Tahun Lahir: 1966 (Mikhaylovka, Wilayah Volgograd)

  • Biografi: Belajar kejuruteraan awam. Semasa muda, menghadiri kelas tarian, mendapat ijazah dalam bidang muzik, bermain dalam orkestra, dan menyanyi dalam kumpulan koir. Walaupun suaminya, Aleksandr, bukan seorang Saksi Yehuwa, dia menyokong Yuliya dan percaya bahawa tuduhan jenayah terhadap isterinya memang tidak adil

    Selepas beberapa orang tersayang meninggal, Yuliya mula berfikir tentang tujuan hidup. Jawapan Bible membantunya mencari ketenangan dan harapan. Dibaptis pada 1998. Prinsip Bible mengukuhkan ikatan perkahwinannya, memperbaik hubungan dengan orang lain, dan membesarkan anak lelakinya, Artur, yang juga merupakan seorang Saksi

    Dia mempunyai masalah kesihatan dan tuduhan jenayah itu menyebabkan keadaannya bertambah teruk

Sejarah Kes

“Pada awal pagi semasa saya dengar pintu diketuk, saya sudah tahu siapa itu,” kata Saudari Yuliya Kaganovich. Dia menyambung, “Hati saya berdebar-debar. Saya hanya dapat kata berulang kali, ‘Bantulah saya, Yehuwa. Bantulah saya, Yehuwa.’”

Penganiayaan keagamaan terhadap saudari kita yang berumur 53 tahun bermula pada 10 Oktober 2019, di Birobidzhan, salah sebuah bandar di Rusia. Serbuan rumah Yuliya awal pagi itu merupakan sebahagian daripada serbuan besar-besaran oleh para pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB) ke atas lebih daripada 20 buah rumah saudara saudari kita di wilayah yang sama.

Serbuan tersebut menyebabkan keadaan yang sangat tegang, tapi Yuliya dan Saksi-Saksi Yehuwa yang lain tetap bertabah kerana mereka sudah membuat persiapan.

“Semasa di perjumpaan, kami sering berkata bahawa mungkin akan ada serbuan rumah, dan kami harus bersedia untuk menghadapinya,” kata Yuliya. Dia menyambung, “Oleh sebab saya tahu hal itu besar kemungkinan akan berlaku, saya bersedia dalam minda, bagaimana saya akan bertindak dan apa saya akan kata. Saya sedar betapa pentingnya untuk fikir bagaimana saya akan bertindak terlebih dahulu. Hasilnya, saya dapat fikir dengan cepat dan bukannya rasa keliru atau gementar sehingga tidak tahu apa yang patut dibuat.”

Seperti yang dijangka, pihak berkuasa Rusia segera membuka kes jenayah selepas serbuan itu. Yuliya dan Saksi-Saksi Yehuwa yang lain dituduh kerana kononnya menjalankan aktiviti ekstremis.

Pada 3 Mac 2020, kes Yuliya dirujuk kepada Mahkamah Daerah Birobidzhan. Perbicaraannya ditangguhkan selama lima bulan kerana pandemik COVID-19. Dia dihadapkan ke mahkamah pada 22 Oktober 2020.

Yuliya berkata, “Sudah tentu saya tidak mahu berada dalam situasi itu, tapi saya juga rasa sangat gembira kerana dapat mempertahankan kedaulatan Yehuwa.”

Dia juga menambah, “Ayat di Yesaya 41:10 ialah ayat yang betul-betul saya perlukan. Saya cetak ayat itu dan gantungkannya dalam rumah supaya saya dapat ingat kata-kata jaminan daripada Yehuwa dalam hati saya. Saya merasai dengan sendiri bagaimana Yehuwa menguatkan lutut saya yang menggeletar.”

Yuliya berusaha sedaya upaya untuk menghafal beberapa ayat Bible yang membantunya tetap tenang, berani, dan bersukacita biarpun menghadapi situasi yang tertekan.

Semoga kita semua bertindak bijak sekarang dengan membuat persediaan secara minda, emosi, dan rohani bagi ujian pada masa hadapan. Kita yakin sepenuhnya bahawa “Yehuwa tidak akan menahan apa-apa yang baik daripada orang yang berjalan dengan integriti.”—Mazmur 84:11.

a Tertakluk kepada perubahan.