Lompat ke kandungan

Kiri ke kanan: Saudara Aleksandr Prianikov, Saudari Venera Dulova, dan anak perempuannya Saudari Darya Dulova, sebelum perbicaraan mereka

24 JANUARI 2020
RUSIA

Seorang Saudara dan Dua Orang Saudari di Karpinsk, Rusia, Didakwa Melakukan Jenayah

Seorang Saudara dan Dua Orang Saudari di Karpinsk, Rusia, Didakwa Melakukan Jenayah

Pada hari Isnin, 27 Januari 2020, Mahkamah Bandar Karpinsk dijangka akan mengumumkan keputusan kes perbicaraan yang melibatkan Saudari Venera dan Darya Dulova serta Saudara Aleksandr Prianikov. Pendakwa raya menuntut hukuman penjara tertangguh selama tiga tahun terhadap Saudara Prianikov dan Saudari Venera Dulova. Pendakwa raya juga menuntut hukuman penjara tertangguh selama dua tahun terhadap Saudari Darya Dulova.

Pada 19 April 2016, Saudara Prianikov dan Saudari Venera Dulova bercakap tentang Bible dengan seorang lelaki. Saudara-mara lelaki itu menuduh bahawa Saudara Prianikov dan Saudari Dulova telah melakukan pencurian lalu melaporkannya kepada polis. Mereka berdua dibawa ke balai polis. Pegawai polis telah mengambil cap jari mereka dan merampas bahan bacaan mereka.

Dua tahun kemudian, mereka sekali lagi ditahan untuk disoal siasat. Telefon bimbit mereka dan dokumen peribadi lain telah dirampas. Ketua polis menugaskan seorang pembantu profesor keagamaan untuk menyelidiki maklumat dalam telefon bimbit Saudara Prianikov dan Saudari Dulova. Laporan profesor itu yang panjangnya 15 muka surat menyimpulkan bahawa telefon mereka mengandungi ajaran Saksi-Saksi Yehuwa. Oleh itu, mereka didakwa melakukan jenayah. Selain itu, Mahkamah Bandar Karpinsk membenarkan pihak berkuasa untuk menggeledah rumah mereka.

Semasa mereka menggeledah apartmen Saudari Dulova, pihak polis telah merampas alat elektronik, buku-buku, dan gambar-gambar. Anak perempuan Saudari Dulova, iaitu Darya yang berumur 18 tahun, telah disoal siasat. Pihak berkuasa turut menggeledah rumah saudara-mara mereka dan apartmen Saudara Prianikov.

Pada pagi 16 April 2019, tiga orang ejen Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB), seorang penyiasat, dan dua orang pegawai yang lain menyerbu masuk rumah Saudara Prianikov. Para pegawai itu telah merampas alat elektronik dan barang peribadi Saudara Prianikov.

Pada 23 Julai 2019, Saudari Darya Dulova dipanggil untuk disoal siasat sebagai suspek dalam kes jenayah yang melibatkan ibunya dan Saudara Prianikov. Mereka bertiga telah didakwa dan perbicaraan awal bagi kes mereka diadakan pada September 2019.

Dengan penuh keyakinan, kita berdoa bagi ketiga-tiga orang Saksi ini, termasuk hampir 300 orang saudara saudari di Rusia, yang didakwa melakukan jenayah dan yang dipenjarakan, “Semoga Tuhan yang memberi kamu harapan, mengurniai kamu sukacita dan kedamaian yang melimpah kerana kamu percaya kepada-Nya, supaya dengan kuasa suci Tuhan, harapan kamu bertambah kukuh.”—Roma 15:13.