5 APRIL 2021
RUSIA
Sidang Media di Moscow untuk Ulang Tahun ke-70 Operasi Utara
Pembuangan kira-kira 10,000 Saksi Yehuwa ke Siberia
Pada 1 April 2021, suatu sidang media diadakan di Moscow sempena ulang tahun ke-70 Operasi Utara. (Operasi Utara dilaksanakan pada tahun 1951. Pada masa itu, hampir 10,000 Saksi Yehuwa dibawa dengan kereta api dari enam wilayah jajahan bekas Kesatuan Soviet ke pembuangan di Siberia.) Sebuah panel enam orang, yang merangkumi para cendekiawan dan pakar hak asasi manusia, telah berceramah dan menjawab soalan daripada pihak media. Panel penceramah itu bukan sahaja menghuraikan rancangan Operasi Utara tetapi juga mengaitkannya dengan penganiayaan Saksi-Saksi Yehuwa yang kini berlaku di Rusia. Seluruh program sidang media itu disiarkan secara langsung dalam Internet.
Yaroslav Sivulsky, wakil Persatuan Eropah Saksi-Saksi Yehuwa, menjelaskan dengan panjang lebar bagaimana orang diperlakukan dengan kejam semasa Operasi Utara. Keluarganya juga diusir ke Siberia akibat pembuangan itu. Sivulsky berkata, “Dengan memeriksa rekod sejarah, kami dapat mengesahkan bahawa sejumlah 9,793 Saksi Yehuwa dan ahli keluarga mereka telah diusir. Angka ini termasuk mereka yang telah meninggal dan yang lahir dalam perjalanan.”
Sergey Ivanenko, cendekiawan agama dari Rusia, telah menerangkan bagaimana propaganda Soviet digunakan terhadap Saksi-Saksi Yehuwa semasa Operasi Utara. Dia juga menjelaskan bahawa propaganda serupa juga digunakan dalam penganiayaan di Rusia sekarang. Selepas membuat ulasan yang menyeluruh, Ivanenko menekankan tentang ketabahan Saksi-Saksi Yehuwa. Dia berkata, “Usaha kerajaan Persekutuan Rusia untuk menindas dan menghancurkan Saksi-Saksi Yehuwa sejak 2017 adalah sia-sia sahaja. Saksi-Saksi Yehuwa yang bertabah sewaktu Operasi Utara, serta Saksi-Saksi Yehuwa yang kini mempertahankan kepercayaan mereka dengan setia, telah membuktikan kebenaran itu. Maka adalah baik untuk kerajaan Rusia membebaskan Saksi-Saksi Yehuwa dan tidak lagi mengharamkan aktiviti mereka.”
Artur Artemyev ialah cendekiawan agama dari Kazakhstan dan pengarang buku Jehovah’s Witnesses in Kazakhstan: A Social-Historical and Religious Analysis (edisi semakan 2020). Dia mengatakan bahawa taktik Soviet yang paling kejam pun tidak berjaya untuk menghapuskan Saksi-Saksi Yehuwa ataupun melemahkan semangat mereka. Sebaliknya, semasa Kazakhstan di bawah jajahan Soviet, bilangan Saksi-Saksi Yehuwa di situ telah meningkat. Pakar hak asasi manusia Valery Borschev, dari Kumpulan Moscow Helsinki, turut menegaskan, “Penganiayaan hanya menguatkan Saksi-Saksi Yehuwa. Pihak kerajaan harus memahami kenyataan ini.”
Valentin Gefter, ahli Majlis Pakar di bawah Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia di Rusia, menyampaikan topik “Bagaimana Tahanan Hati Nurani Wujud di Rusia Moden.” Saksi-Saksi Yehuwa yang dipenjarakan di Rusia sebenarnya merupakan tahanan hati nurani, dan bukannya tahanan politik. Gefter menekankan, “Saksi-Saksi Yehuwa tidak menentang kerajaan sama sekali.” Dia seterusnya menjelaskan bahawa kepercayaan Saksi-Saksi Yehuwa mendorong mereka untuk berpendirian neutral tentang hal-hal politik. Oleh itu, tindakan kerajaan untuk memenjarakan Saksi-Saksi Yehuwa adalah tidak perlu dan tidak adil.
Penceramah terakhir ialah Aleksandr Verkhovsky, ahli Majlis Presiden bagi Hak Asasi Manusia dan pengarah Pusat Informasi dan Analisis SOVA. Pusat SOVA meneliti dan merekodkan semua kes yang menyalahgunakan undang-undang berkenaan ekstremis, termasuk kes yang melibatkan Saksi-Saksi Yehuwa. Verkhovsky memberikan suatu analisis mengenai penganiayaan yang sedang berlaku di Rusia. Dia bertanya, “Adakah kempen penganiayaan terhadap Saksi-Saksi Yehuwa akan berhenti? Inilah soalan yang sangat penting dan kita tidak tahu jawapannya.” Tetapi Verkhovsky yakin lambat-laun kerajaan Rusia mesti berhenti menganiaya Saksi-Saksi Yehuwa. Dia mengemukakan beberapa pilihan kepada para penggubal undang-undang untuk meminda dan mengubah perundangan anti-ekstremisme. Dengan itu, kerajaan dilindungi daripada kegiatan yang benar-benar ekstremis dan tidak mencabuli hak asasi penganut agama yang damai, seperti Saksi-Saksi Yehuwa.
Para wartawan dijemput untuk menanyakan soalan kepada panel mengenai isu-isu yang dibincangkan.
Pada hari yang sama juga, suatu sidang akademik diadakan di bandar Chisinau, Moldova. Acara itu disokong dan diaturkan oleh Institut Sejarah di Akademi Sains Moldova, Universiti Negeri Alecu Russo di Balti, dan Universiti Negeri Bogdan Petriceicu Hasdeu di Cahul. Satu lagi sidang akademik dijadualkan untuk berlangsung di Ukraine pada 9 April.