16 MAC 2021
RUSIA
Suami Isteri dan Tiga Saudara di Wilayah Kursk Berdepan dengan Hukuman Penjara kerana Iman Mereka
TERKINI | Mahkamah Rusia Menolak Rayuan Lima Saksi
Pada 20 Januari 2022, Mahkamah Wilayah Kursk menolak rayuan Saudara Andrey Andreyev, Andrey Ryshkov, Aleksandr Vospitanyuk, dan Saudara Artem Bagratyan serta isterinya, Alevtina. Hukuman mereka masih sama.
Pada 3 Jun 2021, Mahkamah Daerah Perindustrian di Kursk mensabitkan sepasang suami isteri dan tiga orang saudara. Saudara Andrey Andreyev dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun setengah manakala Saudara Ryshkov selama tiga tahun. Saudara Bagratyan dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun setengah dan isterinya, Alevtina, pula selama dua tahun. Saudara Vospitanyuk, yang ditambahkan kepada kes itu, dijatuhkan hukuman pengawasan selama dua tahun, dengan sekatan tambahan.
Profil
Andrey Andreyev
Tahun Lahir: 1976 (Kursk)
Biografi: Berkahwin dengan Svetlana pada 1999. Membesarkan dua anak perempuan. Berminat tentang Bible apabila mempelajari bahawa nubuat Bible menjadi kenyataan. Dibaptis pada 2002
Alevtina Bagratyan
Tahun Lahir: 1977 (Kursk)
Biografi: Sejak kecil suka seni lukis. Mula belajar Bible pada usia yang muda. Dibaptis pada 1997. Berkahwin dengan Artem pada 2012. Pernah bekerja sebagai pendandan rambut sambil menjaga ibunya
Artem Bagratyan
Tahun Lahir: 1972 (Abovyan, Armenia)
Biografi: Berpindah dari Armenia ke Rusia. Mengenali Alevtina di Kursk. Mereka menyukai ciptaan Tuhan. Dibaptis pada 2000
Andrey Ryshkov
Tahun Lahir: 1987 (Kursk)
Biografi: Ayahnya meninggal semasa Andrey masih kecil. Meluangkan kebanyakan masa mudanya dengan datuk kerana ibunya mempunyai dua pekerjaan. Tertarik dengan Bible selepas mendapat jawapan untuk pertanyaan yang sudah difikirkannya selama bertahun-tahun. Dibaptis pada 2011. Berkahwin dengan Marina pada 2016. Pernah bekerja menyenggara apartmen
Sejarah Kes
Pada 16 Oktober 2019, para pegawai Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) menyerbu banyak rumah dan menyoal siasat ramai Saksi-Saksi Yehuwa di Kursk. Selepas itu, Saudara Andrey Andreyev, serta Saudara dan Saudari Bagratyan ditangkap. Pada 21 Januari 2020, Saudara Ryshkov pula ditangkap. Pada 17 Disember 2020, Saudari Alevtina Bagratyan dibebaskan selepas berada di pusat tahanan sebelum perbicaraan selama lebih daripada 13 bulan. Kini, dia ditahan di rumah manakala tiga lagi saudara itu masih di pusat tahanan tersebut.
Artem Bagratyan menderita kerana kencing manis. Isterinya, Alevtina, mengenang kembali saat dia dan suaminya ditahan di sel penjara yang berasingan. Alevtina berkata, “Untuk masa yang lama, saya tidak dapat cari tahu bagaimana keadaan suami saya. Jadi, saya tidak tahu sama ada kesihatannya semakin baik atau buruk. Saya amat merindunya.”
Alevtina memberitahu bahawa dia tetap yakin Yehuwa akan menjaganya dan saudara-saudara yang ditahan itu. Dia menjelaskan, “[Yehuwa] selalu menguatkan saya. Dia pasti akan terus melakukannya. Saya tidak ragu sama sekali.”
Kita yakin bahawa Yehuwa akan terus menjadi menara yang kukuh bagi saudara saudari kita yang sedang menghadapi cabaran ini sambil menantikan keputusan mahkamah.—Amsal 18:10.