9 OGOS 2019
RUSIA
Sudah Hampir Setahun Saudara Andrzej Oniszczuk Dikurung Seorang Diri
Andrzej Oniszczuk, saudara kita yang merupakan warganegara Poland, masih ditahan di Rusia sambil menunggu perbicaraannya. Dia ditangkap oleh pihak polis dan tentera pada 9 Oktober 2018. Baru-baru ini, masa penahanannya dilanjutkan lagi buat kali kelima, iaitu sehingga 2 Oktober 2019. Pada waktu itu, dia ditahan hampir setahun.
Semenjak Andrzej ditangkap, dia dikurung seorang diri. Dari pukul 6 pagi hingga 9 malam, dia tidak dibenarkan untuk berbaring. Dia hanya boleh mandi dengan air panas seminggu sekali untuk 15 minit. Selama 10 bulan Andrzej ditahan, isterinya Anna, tidak dibenarkan untuk melawatnya. Mereka hanya boleh berkomunikasi melalui surat. Anna telah berkali-kali membuat rayuan untuk melawat Andrzej, tetapi permohonannya asyik ditolak.
Seperti yang dilaporkan sebelumnya, Andrjez ditahan selepas polis tempatan dan pasukan gerakan khas bertopeng menyerbu rumahnya dan 18 buah rumah yang lain di Kirov. Andrzej dituduh melakukan kes jenayah kerana menyanyikan lagu teokratik dan mempelajari bahan yang berunsur agama.
Selain Andrzej, terdapat empat saudara lain dari Kirov yang ditangkap pada tahun lepas dan ditahan sebelum dibicarakan. Mereka ialah Maksim Khalturin yang berumur 44 tahun, Vladimir Korobeynikov yang berumur 66 tahun, Andrey Suvorkov yang berumur 26 tahun, dan Evgeniy Suvorkov yang berumur 41 tahun. Sehingga kini, mereka ditahan di rumah. Mereka sedang menunggu Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah untuk mengadili kes-kes mereka.
Tahun ini, tujuh saudara lagi dari Kirov dituduh melakukan kes jenayah oleh kerajaan Rusia. Saudara yang paling tua ialah Yevgeniy Udintsev, yang berumur 70 tahun. Sejumlah 12 Saksi-Saksi Yehuwa di Kirov dituduh melakukan jenayah kerana mengamalkan kepercayaan agama mereka.
Semoga kita mengingati Andrzej, Anna, dan semua saudara saudari yang kita kasihi di Rusia, selaras dengan nasihat Bible ini: “Ingatlah akan orang yang dipenjarakan, seolah-olah kamu juga dipenjarakan bersama-sama mereka. Ingatlah akan orang yang dilayan dengan buruk, seolah-olah kamu juga dilayan dengan buruk bersama-sama mereka.”—Ibrani 13:3.