Lompat ke kandungan

Dari kiri ke kanan: Saudara Dmitriy Malevaniy, Saudari Olga Opaleva, Saudari Olga Panyuta, dan Saudara Aleksey Trofimov

29 JUN 2021 | DIKEMASKINIKAN: 13 FEBRUARI 2023
RUSIA

TERKINI—HUKUMAN PENJARA | Saksi Yehuwa Mendapat Sukacita dan Kekuatan semasa Dianiaya

TERKINI—HUKUMAN PENJARA | Saksi Yehuwa Mendapat Sukacita dan Kekuatan semasa Dianiaya

Pada 10 Februari 2023, Mahkamah Daerah Spassk di Kawasan Primorsky mensabitkan Saudara Dmitriy Malevaniy dan Saudara Aleksey Trofimov, serta Saudari Olga Opaleva dan Olga Panyuta. Saudara Malevaniy dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun, Saudara Trofimov selama enam tahun setengah, dan Saudari Panyuta pula selama empat tahun. Mereka ditahan sejurus selepas perbicaraan mahkamah. Saudari Opaleva dijatuhkan hukuman penjara tertangguh selama empat tahun setengah. Dia tidak perlu dipenjarakan buat masa ini.

Profil

Dmitriy Malevaniy

  • Tahun Lahir: 1990 (Spassk-Dalny)

  • Biografi: Mengajar pengaturcaraan komputer. Isterinya, Ulyana, ialah seorang pelukis. Semasa remaja, dia mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Diyakinkan bahawa mengikut prinsip Bible membawa kehidupan yang lebih bermakna kerana Bible dapat dipercayai. Dibaptis pada 2004

Olga Opaleva

  • Tahun Lahir: 1952 (Spassk-Dalny)

  • Biografi: Semasa muda, percaya kepada Tuhan tetapi tidak berminat tentang Bible. Menjumpai Saksi Yehuwa tidak lama selepas kematian anak perempuannya yang berumur 22 tahun. Berasa gembira semasa belajar tentang janji Bible mengenai harapan pembangkitan. Seraya imannya bertambah, dia mula berkongsi harapannya dengan orang lain. Dibaptis pada 1995. Sejak kecil lagi, minat muzik dan menyanyi. Terutamanya suka menyanyi lagu rohani

Olga Panyuta

  • Tahun Lahir: 1959 (Nizhny Novgorod)

  • Biografi: Sebelum bersara, bekerja sebagai guru tadika dan pekerja sosial. Mengahwini Vladimir pada 1982. Mereka mempunyai tiga anak yang sudah dewasa, iaitu dua anak perempuan dan satu anak lelaki. Belajar Bible dengan Saksi Yehuwa dan suka ajaran Bible yang jelas dan mudah difahami. Dibaptis pada 1996

Aleksey Trofimov

  • Tahun Lahir: 1959 (Mamakan, Wilayah Irkutsk)

  • Biografi: Berkenalan dengan isterinya, Tamara, semasa dia belajar dalam kolej di Vladivostok. Mereka mempunyai empat anak dan beberapa cucu. Pernah bekerja sebagai tukang kunci dan kemudian sebagai penyelia bilik boiler. Pada awal 1990-an, dia membuat keputusan untuk menyembah Yehuwa selepas memahami bahawa Firman Tuhan mengajar cara menjalani kehidupan yang lebih bermakna. Dibaptis pada 1996

Sejarah Kes

Pada 25 November 2018, pegawai penguatkuasa undang-undang menyerbu dan menggeledah rumah empat Saksi di bandar Spassk-Dalny. Para pegawai menggunakan gergaji elektrik untuk memotong pintu apartmen Olga Opaleva. Selepas masuk, mereka bertanya mengapa dia tidak membuka pintu. Olga tidak dapat menjawab dengan jelas. Para pegawai memanggil ambulans dan Olga disahkan telah diserang sakit jantung. Kemudian pada hari yang sama, para pegawai membawanya dari hospital ke bilik soal siasat. Akibat serangan sakit jantung itu, pergerakan tangan kiri dan kaki kirinya terhad. Anak lelaki Olga, Saudara Vitaliy Ilinykh, yang membantu menjaganya, juga dituduh dalam kes yang berasingan.

Keempat-empat saudara saudari tersebut ditempatkan di pusat tahanan selama dua hari. Pada 27 November 2018, mereka dibebaskan dan ditahan di rumah masing-masing. Selepas lebih setahun, sekatan yang dikenakan atas mereka dikurangkan.

Mereka didakwa kononnya mengatur dan terlibat dalam aktiviti organisasi yang ekstremis.

Kawan-kawan dan ahli keluarga, termasuk mereka yang bukan Saksi, berkata bahawa mereka tidak faham mengapa rakyat yang cinta akan kedamaian dihukum kerana kepercayaan mereka. Dalam kes Dmitriy, bahkan rakan sekerjanya yang tidak berkongsi kepercayaan agamanya, menyokongnya dan menggalakkannya untuk tidak berputus asa.

Dmitriy sedar bahawa sukacita yang dinikmatinya semasa menghadapi penganiayaan ialah tanda bahawa Yehuwa menyertainya. Dia berkata, “Sebagaimana tongkat Musa menunjukkan bahawa Yehuwa menyertainya, begitu juga sukacita yang saya nikmati menunjukkan bahawa Yehuwa sedang menyokong saya.” Dia menyambung bahawa sukacitanya akan “menjadi kesaksian yang besar kepada semua yang terlibat dalam penyiasatan dan perbicaraan kes ini.”

Olga Opaleva menerangkan, “Semasa saya melihat bagaimana saya bertabah, saya sedar bahawa Yehuwa sedang membantu saya pada setiap detik. Saya mula bergantung pada Yehuwa untuk setiap perkara, bahkan perkara yang kecil, dan saya serahkan beban saya kepada-Nya.”

Aleksey mengenang kembali apa yang membantunya semasa berada dalam pusat tahanan dan semasa ditahan di rumah. Dia berkata, “[Yehuwa] membantu saya menjadi kuat. Saya dapat merasai hal ini semasa mereka mengurung saya di pusat tahanan sementara. Saya mohon kepada Yehuwa agar memberi saya keberanian. Dengan serta-merta, saya mula berasa bahawa tangan, kaki, dan suara saya tidak bergetar lagi. Saya telah bertekad untuk menyesuaikan diri dengan situasi yang baharu ini.”

Olga Panyuta berkata, “Nama baik Yehuwa terlibat. Maka, kita perlu percaya kepada Yehuwa, menyembah-Nya dan melakukan kehendak-Nya dengan sepenuh hati, serta menguatkan hubungan kita dengan-Nya.”

Seraya saudara saudari kita yang tersayang menunggu keputusan mahkamah, kita berdoa agar mereka akan terus bergantung sepenuhnya pada “gunung batu” mereka, iaitu Yehuwa, agar dapat terus bertabah.—Ulangan 32:4.